BERITA UTAMA
JIPS siasat anggota pengiring pukul pemandu e-hailing OKU

JIPS siasat anggota pengiring pukul pemandu e-hailing OKU

KUALA LUMPUR – Anggota pengiring yang memukul seorang pemandu e-hailing di lobi sebuah hotel di ibu negara baru-baru ini, disiasat Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah JIPS, Datuk Seri Azri Ahmad dalam satu kenyataan pada malam Rabu berkata, siasatan adalah dari sudut aspek tatatertib.

Sehubungan itu, beliau berkata, mangsa telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini, kira-kira jam 11 pagi bagi membantu siasatan tatatertib dengan diiringi peguam dan jurubahasa.

“JIPS akan meneliti kes ini dari sudut prosedur operasi standard (SOP) untuk mengesan sebarang pelanggaran atau salah laku semasa pelaksanaan penugasan.

“Siasatan masih di peringkat awal dan JIPS akan memanggil saksi-saksi lain bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

Selain itu, Azri menegaskan, JIPS akan menjalankan siasatan secara telus dan tanpa kompromi.

Sebelum ini, pemandu kenderaan e-hailing OKU mendakwa dipukul seorang pengawal pengiring rombongan kenamaan di lobi sebuah hotel ibu negara, namun dia menarik balik laporannya pada hari yang sama.

Pemandu berusia 46 tahun itu mendakwa ditumbuk di kepala ketika diminta untuk mengalihkan kenderaannya.

Susulan itu, mangsa membuat laporan polis selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketika membuat laporan, telefon bimbit dan kamera papan pemuka keretanya yang dipercayai merakam kejadian itu dirampas oleh polis.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *