Tajuk Utama
    Pas perlu menang Sungai Bakap, tunjuk ‘gelombang PRU15’ belum reda

    Pas perlu menang Sungai Bakap, tunjuk ‘gelombang PRU15’ belum reda – Penganalisis

    PETALING JAYA – Penganalis berpendapat walaupun PRK Sungai Bakap tidak memberi kesan terutama kepada pentadbiran Putrajaya atau Pulau Pinang, namun PAS perlu menang untuk menunjukkan kekuatan ‘gelombang’ belum reda menjelang PRU16.

    Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata PAS sebagai penyandang di kerusi itu pastinya berdepan tugas berat dalam memastikan gelombang sejak PRU15 dengan kemenangan di 43 kerusi Parlimen disusuli penguasaan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diteruskan.

    Jelasnya, PRK Kuala Kubu Baharu lalu menyaksikan PN yang diwakili sekutu PAS iaitu Bersatu, tidak boleh sepenuhnya menjadi kayu ukuran sama ada sokongan rakyat kepada komponen itu telah menurun atau sebaliknya.

    “Di Sungai Bakap yang pengundi Melayu ramai dan kawasannya agak pedalaman sikit, isunya sama ada momentum penyokong dan rakyat terus menyokong atau sebaliknya…jika lemah boleh beri kesan pada PRU16.

    “Sebab itu tekanan besar kepada PN terutama PAS, kena menang kerusi untuk buktikan gelombang PRU15 masih ada,” katanya kepada FMT.

    Lau berkata untuk memastikan kerusi dimenangi pada PRN kekal di tangan PN, PAS tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada sentimen berkaitan prestasi penyandang DUN Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff selama sembilan bulan menjadi Adun.

    Menurutnya, rekod yang baik ada pada penyandang tidak memberi kesan kepada undi melainkan seseorang itu terlalu ‘sempurna sehingga kenyataannya tidak akan ditolak oleh mana-mana pihak’.

    Jumaat lalu, media melaporkan Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata rekod dan pencapaian Nor Zamri yang baik sepanjang menjadi Adun memberi kelebihan kepada PN.

    Pada PRN lalu, Nor Zamri yang juga ketua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

    Zamri meninggal dunia 24 Mei lalu kerana mengalami keradangan perut dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual bermesyuarat Khamis ini, bagi penentuan tarikh penamaan calon serta pengundian.

    Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berpendapat undi diterima PN mungkin akan merudum seperti PRK Kuala Kubu Bharu jika mereka tidak menaikkan semangat pengundi.

    “Walaupun keputusannya tidak akan memberi perubahan dari bentuk kerajaan negeri, tetapi beri gambaran kedudukan gelombang hijau ketika ini setelah tewas pada PRK terkini itu,” katanya. – FMT

     

    Telegram: https://t.me/nasionaldaily

    TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

    Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *