BERITA UTAMA

Tengku Zafrul pertahan pembabitan BlackRock dalam MAHB

PETALING JAYA – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz mempertahankan keputusan kerajaan membenarkan BlackRock, firma yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel, memiliki pegangan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Sebelum ini, timbul kritikan menentang penyertaan BlackRock, menerusi anak syarikat penuhnya Global Infrastructure Partners (GIP), dalam konsortium bersama Khazanah Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi meningkatkan pegangan dalam MAHB.

Mereka mendakwa walaupun GIP dan Abu Dhabi Investment Authority (Adia) hanya memiliki 30 peratus pegangan, ia membenarkan kemasukan BlackRock dalam pengurusan dan memiliki 39 lapangan terbang di Malaysia.

Pengkritik juga menuduh BlackRock, firma pelaburan berpangkalan di New York, ‘mengambil untung daripada genosid’ menerusi pegangannya dalam syarikat persenjataan Amerika Syarikat, yang didakwa membekalkan senjata kepada Israel.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul, menekankan BlackRock adalah syarikat senaraian awam dan tidak dimiliki rakyat Israel.

Beliau juga merujuk dana kekayaan dari Abu Dhabi, Kuwait, Arab Saudi dan Qatar juga memiliki kepentingan saham BlackRock.

Katanya, BlackRock juga merupakan pemegang saham terbesar Apple.

“Semua yang memiliki (produk) Apple, jika anda benar-benar menentang, anda tidak sepatutnya menggunakannya. Siapa pemegang saham terbesar WhatsApp? Siapa pemegang saham terbesar Facebook?

“Jadi, di mana kita nak putuskan garis pemisah? Dalam dasar, di mana kita gariskannya?” katanya dalam Madani Economy Townhall di Universiti Malaya (UM) ketika ditanya untuk menjelaskan rundingan penswastaan MAHB.

Tengku Zafrul berkata, penting bagi kerajaan menjelaskan merit rundingan berkenaan, “dan saya fikir mereka telah lakukan”.

“Namun, sudah tentu, mungkin kita kena buat lebih lagi. Bagi saya, kita perlu lihat perkara ini secara holistik,” katanya.

Sebelum ini, Khazanah memberikan jaminan GIP, sebagai rakan konsortium tidak mempunyai kuasa menentukan pengurusan MAHB apabila rundingan dimuktamadkan.

Beberapa pemimpin Perikatan Nasional, termasuk Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Afnan Hamimi Taib Azamudden menggesa Putrajaya menangguhkan penjualan saham kepada GIP.

Bekas Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming juga membuat gesaan terhadap kerajaan supaya Khazanah dan KWSP mengadakan sidang media menjelaskan rundingan tersebut secepat mungkin, berbanding memberi peluang kepada pembangkang ‘menguasai naratif’, menjelang sidang Parlimen akan datang. – FMT

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *