BERITA UTAMA

Putra seru rakyat bangkit menentang

KUALA LUMPUR – Parti Putra menyeru rakyat Malaysia bangkit menentang cadangan kerajaan menjual saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada syarikat yang ada kait rapat dengan Israel, iaitu BlackRock.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali menegaskan, BlackRock menerusi anak syarikat milik penuhnya, Global Infrastructure Partners (GIP) adalah sebuah firma yang dikatakan mempunyai kaitan rapat dengan Israel.

Menurut beliau, tindakan kerajaan itu jelas menunjukkan amalan ‘cakap tidak serupa bikin’ kerajaan yang sebelum ini ‘lantang’ menyatakan sokongan kepada Palestin.

“Hakikatnya, kerajaan membenarkan GIP dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) memiliki 30 peratus pegangan, sekali gus mengurus 39 lapangan terbang di Malaysia.

“Tindakan ini sangat menyedihkan. Ini dikatakan talam dua muka.

“Masihkah rakyat mahu berdiam diri dengan tindakan yang secara jelas dan terang-terangan menyokong zionis ini?,” ujar beliau dalam kenyataannya kepada media.

Hari ini, media melaporkan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mempertahankan keputusan kerajaan membenarkan BlackRock, firma yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel memiliki pegangan dalam MAHB.

Sebelum ini, timbul kritikan menentang penyertaan BlackRock menerusi anak syarikat penuhnya GIP dalam konsortium bersama Khazanah Bhd. dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi meningkatkan pegangan dalam MAHB.

Mereka mendakwa walaupun GIP dan Abu Dhabi Investment Authority (Adia) hanya memiliki 30 peratus pegangan, ia membenarkan kemasukan BlackRock dalam pengurusan dan memiliki 39 lapangan terbang di Malaysia.

Pengkritik juga menuduh BlackRock, firma pelaburan berpangkalan di New York, ‘mengambil untung daripada genosid’ menerusi pegangannya dalam syarikat persenjataan Amerika Syarikat, yang didakwa membekalkan senjata kepada Israel.

Mengulas lanjut, Ibrahim turut menterjemahkan penjelasan Timbalan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Prof. Saul Takhashi berhubung BlackRock.

Prof, Saul dalam rakaman videonya menyatakan, tidak masuk akal tindakan kerajaan Malaysia mempertimbangkan untuk mengambil anak syarikat BlackRock sebagai rakan kongsi konsortium untuk menguruskan semua lapangan terbang di negara ini.

Dakwa beliau, Blackrock adalah pembiaya utama kepada kompleks ketenteraan Amerika Syarikat yang membolehkan genosid Israel di Palestin, yang sedang berlaku di hadapan mata sekarang.

“CEO BlackRock sangat dikenali sebagai seorang yang lantang mendokong rejim apartheid zionis Israel,” katanya. – NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *