Gambaran respons pramatang SPRM terhadap kerajaan, rakyat – Ahmad Fadhli

KUALA LUMPUR – Respons pramatang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggambarkan kerajaan tidak mengambil berat kebimbangan rakyat, yang menagih sebuah perubahan besar dalam pentadbiran kerajaan yang dahulunya menjadi zikir dan laungan oleh Perdana Menteri.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, rakyat kecewa dengan beberapa maklum balas yang masih tidak menunjukkan tatakelola baik dalam pentadbiran kerajaan yang ditadbir Pakatan Harapan (PH).

Lebih mengejutkan, katanya, pendedahan terbaharu berkenaan syarikat yang terpalit itu berkait rapat ‘hubungan rapat’ mereka dengan ‘kroni’ PH,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Ia adalah susulan tular berkenaan isu tender rundingan terus yang diperoleh Asia Mobility Technologies Sdn. Bhd. (Asia Mobility) sebagai pengendali Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) daripada kerajaan Selangor.

Terdahulu, Asia Mobility telah dikaitkan dengan pemilik kepentingan syarikat itu, Ramachandran Muniandy yang juga suami kepada Menteri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

“Ternyata, retorik Kerajaan Madani yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin meresahkan, tatkala rakyat dihimpit dengan kenaikan kos sara hidup akibat dasar yang celaru oleh kerajaan.

“Dalam masa sama, tangan-tangan rapat sibuk membahagikan laba dan ghanimah sesama mereka,” tambah Ahmad Fadhli.

Sehubungan itu, beliau turut mempersoalkan adakah semua itu berlaku bagi mengiyakan slogan dan terjemahan ‘maha kaya’ yang mahu dimaksudkan oleh PMX dalam semua siri pidatonya bersama rakyat?

“Sedarlah, rakyat tidak mahu ditadbir oleh seorang pemidato, tetapi mahukan seorang yang jujur dan tidak bohong dalam mentadbir negara,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan medianya memaklumkan, siasatan interim terhadap Asia Mobility dan DRT, mendapati tiada salah guna kuasa melibatkan Hannah Yeoh. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *