BERITA UTAMA

PM sambut baik pengumuman komitmen pelaburan Google

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik pengumuman syarikat gergasi teknologi Google yang mengesahkan komitmen pelaburan bernilai RM9.4 bilion bagi menempatkan Pusat Data Google dan Wilayah Awan Google pertama di Malaysia.

Ia sekali gus menyokong agenda kerajaan dalam mempercepat dan melicinkan transformasi digital negara.

Anwar dalam catatan di Facebook berkata, pelaburan ini dijangka membawa kesan berganda kepada ekonomi Malaysia sekitar AS$3.2 bilion dolar dan pewujudan sebanyak 26,500 pekerjaan menjelang tahun 2030.

“Pelaburan terkait pusat data yang pertama bagi Google di Malaysia dan pembangunan rantau Google Cloud ini adalah bukti perencanaan kerajaan yang jelas, selain kekuatan ekonomi dan sumber negara menjadi tarikan kepada pelabur sedia ada dan baharu.

“Nescaya, ini meletakkan Malaysia sebagai antara negara utama dalam penggunaan dan perkhidmatan sokongan bagi perkhidmatan berteraskan teknologi digital.

“Dalam pertemuan secara maya bersama pengurusan kanan Google pada 6 Mei lalu, saya telah tekankan, selain dukungan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara umum, kerjasama strategik perlu ditumpukan dalam bidang pendidikan, kesihatan dan pertanian,” katanya.

Kata Anwar, ini penting bagi memastikan Malaysia dapat memanfaatkan kemahiran dan pendekatan berteraskan teknologi terkini.

Pengumuman ini dibuat selepas beberapa siri penglibatan MITI yang melibatkan Perdana Menteri bersama Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan serta Ketua Pegawai Kewangan Alphabet dan Google Ruth Porat.

Memorandum Persefahaman turut ditandatangani antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Google pada 14 November 2023.

Ruth Porat berkata, pusat data pertama Google dan rantau Google Cloud ialah pelaburan terancang terbesar setakat ini di Malaysia, dan ia merupakan lokasi yang dibanggakan oleh Google selama 13 tahun. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *