Kerajaan Selangor sedia beri butiran lengkap lantikan Asia Mobiliti – Amirudin

PETALING JAYA – Kerajaan selangor bersedia mendedahkan butiran penuh pelantikan Asia Mobiliti Technologies Sdn. Bhd. (Asia Mobiliti) untuk perkhidmatan pengangkutan awam perbatuan pertama dan terakhir di negeri itu.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, persoalan timbul mengenai kemungkinan layanan keutamaan dan konflik kepentingan susulan pendedahan Asia Mobiliti antara dua syarikat diberikan projek rintis “Demand-Responsive Transit” (DRT) tanpa melalui tender terbuka.

Semalam, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menggesa kerajaan Selangor mendedahkan butiran lengkap pelantikan Asia Mobiliti dan Amirudin hari ini, bersetuju dengan gesaan itu.

“Kami sanggup (lakukannya),” katanya dalam sidang media hari ini ketika ditanya berhubung gesaan C4.

“Kami tiada masalah berbuat demikian kerana kami ada kebebasan maklumat,” katanya.

Untuk rekod, Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobiliti, M Ramachandran asalah suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Mengulas lanjut, Amirudin menjelaskan, kerajaan Selangor juga terbuka untuk menyediakan minit mesyuarat melibatkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han mempertahankan pemilihan kedua-dua syarikat itu dengan berkata, mereka diluluskan APAD dan Pengawal Selia Persekutuan.

Katanya, dua syarikat itu hanya sebahagian daripada proses pembuktian konsep (POC) “bus-on-demand” selama sembilan bulan.

POC ialah kajian kebolehlaksanaan untuk membuktikan sesuatu idea itu boleh dilaksanakan.

Kata Amirudin lagi, Asia Mobiliti dan BadanBas Coach Sdn. Bhd. dipilih untuk POC, yang berakhir pada Julai kerana mereka diluluskan APAD.

“APAD kata hanya dua syarikat diberikan kebenaran untuk POC, jadi kerajaan negeri mempelawa kedua-duanya.

“Walaupun kami akan mengadakan tender terbuka, hanya dua syarikat ketika itu mempunyai kebenaran untuk melakukan POC… jadi, persoalan sama ada patut ada tender terbuka atau tidak adalah tidak sah.

“Kami dinasihatkan APAD hanya ada dua syarikat, jadi mereka mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri,” katanya.

Menurut beliau, syarikat e-panggilan lain tidak dipelawa melaksanakan POC kerana tidak mendapat kelulusan APAD.

Beliau berkata, pengendali pengangkutan awam, Prasarana Malaysia Bhd. dan sebuah lagi syarikat, Kumpool Sdn. Bhd. akan dipelawa mengemukakan cadangan POC mereka selepas mendapat lampu hijau APAD. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *