KUCHING – Hari Gawai yang akan disambut Sabtu ini suram buat 46 penduduk daripada 14 keluarga sebuah rumah panjang di Kampung Long Bangan Apoh, Baram, selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran, semalam.
Kebakaran jam 5 pagi, namun bomba hanya menerima maklumat kejadian yang terletak 248 kilometer dari balai terdekat itu pada jam 9 pagi.
Walaupun kejadian itu terletak terlalu jauh di pedalaman, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, Maureen Sim Ah Lian, bersama tiga anggotanya berserta dua pegawai penyiasat kebakaran Zon 6, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak bergerak ke lokasi untuk mengenal pasti kesahihan maklumat yang diterima.
Maureen berkata, mereka menempuh perjalanan lebih enam jam melalui jalan balak untuk sampai ke tempat kejadian.
Sebanyak 14 daripada 102 unit kediaman di rumah panjang Kampung Long Bangan Apoh, Baram, musnah dalam kebakaran, semalam. – Foto Bomba
Perjalanan bertambah sukar apabila jalan tanah merah itu licin akibat hujan manakala ketika melalui tempat kering pula mereka berdepan masalah jalan berdebu yang menyebabkan jarak penglihatan terhad.
Malah katanya, komunikasi juga sukar kerana tiada liputan telekomunikasi di lokasi kejadian.
“Bomba tiba di lokasi jam 3.04 petang. Kebakaran membabitkan 14 unit kediaman manakala sebuah pikap Toyota Hilux dan sebuah motosikal jenis Honda Wave turut musnah,” katanya.
Maureen berkata, semua 46 mangsa termasuk seorang lelaki dewasa yang lumpuh, seorang wanita dewasa orang kelainan upaya (OKU) serta 12 kanak-kanak dapat menyelamatkan diri.
“Secara keseluruhan, kampung itu mempunyai 102 unit kediaman dan tindakan pantas penduduk melakukan pemadaman dapat menyelamatkan kebakaran daripada merebak,” katanya.
Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian dan menilai anggaran kerugian yang dialami penduduk. – BH
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252