BERITA UTAMA

Satelit pengintip terbaru Korea Utara meletup selepas dilancarkan

SEOUL – Percubaan terbaru Korea Utara untuk melancarkan satelit pengintip tidak kesampaian apabila ia meletup sebelum dapat memasuki orbit angkasa lepas.

Pyongyang melaporkan kemalangan itu lewat semalam, beberapa jam selepas pengumuman mengenai pelancaran itu dikritik oleh Seoul dan Tokyo.

Meletakkan satelit pengintip ke orbit sudah menjadi keutamaan bagi pemerintahan Kim Jong-un dan mereka mendakwa berjaya melakukannya pada November, selepas dua percubaan gagal tahun lalu.

Seoul mendakwa, Jong-un menerima bantuan teknikal Russia bagi menyempurnakan pelancaran itu, sebagai balasan untuk membekalkan senjata kepada Moscow bagi kegunaan perang di Ukraine.

Namun, percubaan pada Isnin untuk melancarkan satelit peninjau Malligyong-1-1 berakhir dengan kegagalan, selepas ia meletup di udara ketika misi masih pada peringkat penerbangan pertama.

Pentadbiran Pembangunan Aeroangkasa Nasional Korea Utara, dalam satu kenyataan, mengesahkan satelit itu gagal dilancarkan.

“Semakan pakar merumuskan punca kegagalan itu adalah keupayaan operasi enjin oksigen cecair dan minyak yang baru dibangunkan,” berdasarkan kenyataan disiarkan oleh Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Penyiar Jepun, NHK menyiarkan rakaman yang kelihatan seperti ‘roket berapi’ terbang ke udara, kemudiannya meletup membentuk bebola api, yang direkodkan di timur laut China, pada masa yang sama dengan pelancaran satelit Korea Utara.

Pyongyang memaklumkan Jepun pada awal Isnin bahawa ia merancang untuk meletakkan satelit lain ke orbit, membangkitkan kritikan Seoul dan Tokyo, yang turut menggesa Jong-un membatalkannya.

Tentera Korea Selatan memberitahu pihaknya berjaya mengesan misi pelancaran itu, namun menganggap ia sudah meletup di udara.

“Pihak berkuasa perisikan Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) secara bersama sedang menganalisis data sedia ada dengan terperinci,” kata Ketua Staf Bersama.

Tambah beliau, pelancaran terbaru itu tindakan provokatif yang jelas melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang melarang penggunaan teknologi peluru berpandu balistik.

Komando Indo-Pasifik AS (INDOPACOM) menyifatkan pelancaran itu sebagai pelanggaran kejam terhadap beberapa resolusi UNSC, selain berisiko menjejaskan kestabilan dan keselamatan di rantau ini dan sekitarnya.

Jepun memberi amaran kepada penduduk di wilayah selatan Okinawa supaya berlindung di tempat perlindungan, namun arahan itu ditarik semula beberapa minit kemudian.

Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol pada Isnin berkata satu lagi pelancaran satelit iaitu percubaan keempat Korea Utara akan menggugat keamanan dan kestabilan serantau dan global.

Pakar mengatakan satelit pengintip boleh meningkatkan keupayaan pengumpulan perisikan Korea Utara, terutamanya di Korea Selatan dan mampu menyediakan data penting dalam sebarang konflik ketenteraan. – AFP

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *