BERITA UTAMA

Titah Adendum: MB Pahang sokong permohonan Najib

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Pahang memfailkan afidavit menyokong permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan perintah tambahan yang dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16 supaya menjalani baki enam tahun penjara di bawah tahanan di rumah.

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengikrarkan perkara itu menerusi firma guaman, Tetuan Shafee & Co, di Mahkamah Tinggi pada Selasa minggu lalu.

Sebelum ini, Najib telah memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April lalu menerusi Tetuan Shafee & Co.

Mantan Perdana Menteri itu selaku pemohon, menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Dalam notis permohonan itu, Najib memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau salah seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Januari 2024.

Beliau juga memohon perintah mandamus bahawa jika dekri tambahan itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti menguatkuasakannya serta-merta dengan memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur, untuk menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan di rumah.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Beliau kemudiannya memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *