BERITA UTAMA

Gelombang haba punca 48 kematian di Mexico sejak Mac

MEXICO CITY – Mexico mencatatkan 48 kematian akibat gelombang haba sejak Mac, kata kerajaan ketika saintis memberi amaran bahawa hari-hari mendatang mungkin mencatatkan suhu lebih tinggi.

Dalam tempoh sama, lebih 950 orang mengalami pelbagai kesan kesihatan akibat kepanasan melampau, menurut kementerian kesihatan.

Tahun lalu, Mexico melaporkan rekod 419 kematian berkaitan haba pada musim panas, antara Mac hingga Oktober, di negara dengan 129 juta penduduk itu.

Presiden Andres Manuel Lopez Obrador menyifatkan cuaca panas tahun ini sebagai ‘luar biasa’.

“Ia adalah fenomena semula jadi yang sangat dikesali berkaitan dengan perubahan iklim,” katanya pada sidang berita pada setiap pagi.

Suhu tinggi dan kekurangan angin memburukkan lagi masalah pencemaran khususnya di Mexico City, tambah Lopez Obrador.

Ibu kota, yang terletak pada ketinggian 2,240 meter di atas paras laut, secara tradisinya menikmati iklim sederhana dan hanya beberapa rumah mempunyai pendingin hawa.

Suhu di Mexico City mencapai rekod 34.3 darjah Celsius pada 9 Mei, menurut Suruhanjaya Air Negara manakala negeri timur laut, San Luis Potosi, mencatatkan suhu tertinggi 49.6 darjah Celsius.

Saintis dari Universiti Autonomi Kebangsaan Mexico memberi amaran bahawa lebih banyak rekod suhu tertinggi boleh dipecahkan dalam dua minggu akan datang.

“Tahun ini akan menjadi tahun paling panas dalam sejarah,” kata Francisco Estrada, penyelaras Program Penyelidikan Perubahan Iklim universiti, pada satu sidang akhbar.

Bukan hanya manusia yang menderita – di selatan Mexico berpuluh-puluh monyet spesies howler dilaporkan mati mengejut akibat kesan cuaca panas. – AFP

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *