BERITA UTAMA

Amal Clooney nasihati ICC dapatkan waran tangkap Netanyahu, pemimpin Hamas

LONDON – Peguam hak asasi manusia Britain, Amal Clooney merupakan penasihat khas dalam siasatan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mendorong pendakwa raya dalam kes itu memohon waran tangkap dikeluarkan ke atas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan tiga pemimpin Hamas.

Perkara itu dikongsi Ketua Pendakwa Raya ICC, Karim Khan dalam ucapan penghargaannya kepada Amal Clooney.

Karim menyifatkan Amal Clooney sebagai sebahagian daripada “panel pakar dalam undang-undang antarabangsa” yang menyemak segala bukti.

Sementara itu, dalam mesej di laman web yayasannya, Amal Clooney berkata, Karim telah meminta bantuannya “dengan menilai bukti jenayah perang yang disyaki dan jenayah terhadap kemanusiaan di Israel dan Gaza.”

“Saya bersetuju dan menyertai panel pakar undang-undang antarabangsa untuk melaksanakan tugas ini.

“Bersama-sama kami telah terlibat dalam proses yang meluas bagi semakan bukti dan analisis undang-undang, termasuk di Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague.

“Walaupun latar belakang peribadi kami yang pelbagai, penemuan undang-undang membuatkan kami sebulat suara. Kami telah sebulat suara memutuskan bahawa mahkamah (ICC) mempunyai bidang kuasa ke atas jenayah yang dilakukan di Palestin dan oleh warga Palestin.

“Kami sebulat suara membuat kesimpulan bahawa terdapat alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa pemimpin Hamas iaitu Yahya Sinwar, Mohammed Deif dan Ismail Haniyeh telah melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, termasuk pengambilan tebusan, pembunuhan dan jenayah keganasan seksual.

“Kami sebulat suara membuat kesimpulan bahawa terdapat alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant telah melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, termasuk kebuluran sebagai kaedah peperangan, pembunuhan, penganiayaan dan pemusnahan,” tegas peguam berkenaan yang juga isteri kepada aktor ternama Hollywood, George Clooney.

Amal Clooney sebelum ini berdepan kritikan kerana gagal mengkritik secara terbuka perang di Gaza.

Bagaimanapun, pada Isnin, peguam berdarah kacukan Britain-Lubnan itu menerima banyak mesej yang dikirim kepadanya di media sosial dan meminta maaf atas komen negatif mereka sebelum ini dan memuji peranannya dalam siasatan ICC.

Peguam itu berkata, persetujuannya untuk berkhidmat sebagai panel kerana beliau percaya pada kedaulatan undang-undang dan “keperluan untuk melindungi nyawa orang awam.”

Amal Clooney menambah: “Undang-undang yang melindungi orang awam dalam peperangan telah dibangunkan lebih 100 tahun lalu dan ia terpakai di setiap negara di dunia, tanpa mengira sebab konflik.

“Sebagai seorang peguam hak asasi manusia, saya tidak akan pernah menerima bahawa nyawa seorang kanak-kanak mempunyai nilai yang lebih rendah daripada nyawa yang lain.

“Saya tidak menerima bahawa sebarang konflik harus berada di luar jangkauan undang-undang atau mana-mana pelaku harus berada di atas undang-undang. Jadi saya menyokong langkah bersejarah yang telah diambil oleh pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk membawa keadilan kepada mangsa kekejaman di Israel dan Palestin.”

Pemimpin Israel dan Hamas telah menolak dakwaan bahawa mereka bersalah atas jenayah perang dan wakil kedua-dua pihak mengkritik keputusan Karim. – Arab News

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *