BERITA UTAMA

Jasad Presiden Ebrahim Raisi dan mangsa lain dibawa ke Tabriz

TEHRAN – Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah Iran (IRCS), Pir-Hossein Kolivand mengumumkan bahawa jasad Presiden Iran, Ebrahim Raisi, dan mangsa nahas helikopter yang lain sedang dibawa ke Tabriz, barat laut Iran.

Operasi mencari dan menyelamat berskala besar berakhir apabila jenazah dihantar ke sebuah lokasi di wilayah Azerbaijan Timur, tempat persemadian para syuhada Tabriz, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA) yang memetik kenyataan Kolivand dalam siaran televisyen pada Isnin.

Ebrahim Raisi, Presiden kelapan Iran, maut selepas helikopter yang membawa beliau dan rombongan terhempas di wilayah Varzaqan di Azerbaijan Timur pada Ahad.

Mengulas mengenai situasi terkini operasi mencari dan menyelamat, Kolivand berkata pasukan pakar IRCS berada di kawasan itu sejak Ahad, namun cuaca buruk dan kabus tebal menghalang proses pencarian.

Akhirnya, pada awal pagi Isnin pasukan penyelamat berjaya menemukan lokasi nahas, katanya.

Raisi dalam penerbangan pulang bersama Menteri Luar Hossein Amirabdollahian dan beberapa yang lain daripada satu majlis perasmian empangan di sempadan Iran dengan Azerbaijan apabila helikopter dinaiki mereka terhempas semasa hendak mendarat di wilayah Varzaqan pada Ahad. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *