KUALA LUMPUR – Eksport negara berkembang kukuh pada April 2024 dengan meningkat 9.1 peratus kepada RM114.72 bilion setelah mencatatkan penyusutan dua bulan berturut-turut.
Pertumbuhan kukuh itu disumbangkan kenaikan eksport jentera, kelengkapan dan peralatan, kimia dan bahan kimia, petroleum mentah, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan besi dan keluli, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan.
Berita Harian melaporkan, dari segi pasaran, eksport ke ASEAN, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) merekodkan pertumbuhan dua angka, manakala eksport ke China pulih daripada pertumbuhan negatif yang direkodkan pada bulan sebelumnya, menggambarkan pemulihan ekonomi sedang berlaku dalam pasaran eksport utama Malaysia.
Eksport Malaysia mencatat penyusutan pada Februari dan Mac masing-masing sebanyak 0.8 peratus.
Dari segi import pula, ia meningkat 15.6 peratus kepada RM107.02 bilion pada April 2024, disumbangkan oleh import yang kukuh bagi barangan pengantara yang digunakan terutamanya dalam aktiviti pembuatan barangan untuk dieksport.
“Perdagangan Malaysia mengekalkan prestasi kukuh dan trend peningkatan pada April 2024 dengan merekodkan pertumbuhan dua angka 12.1 peratus kepada RM221.74 bilion berbanding April 2023, pertumbuhan keempat bulan berturut-turut.
“Untuk bulan yang ke-48 berturut-turut sejak Mei 2020, Malaysia telah mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM7.7 bilion,” katanya.
MITI berkata, empat bulan 2024 mencatat nilai tertinggi yang pernah direkodkan untuk tempoh itu bagi perdagangan, eksport, dan import, dengan perdagangan meningkat 8.3 peratus kepada RM912.27 bilion berbanding tempoh sama 2023.
Eksport pula meningkat 3.8 peratus kepada RM477.05 bilion dan import naik 13.7 peratus kepada RM435.22 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM41.83 bilion.
Sementara itu, berbanding Mac 2024, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan pada April 2024 dicatat lebih rendah masing-masing sebanyak 9.3 peratus, 10.8 peratus, 7.6 peratus dan 39.4 peratus.
"/>