Bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang menjaga keselamatan rakyat dan negara – Permaisuri Agong

ADALAH amat menyedihkan apabila ada dalam kalangan kita yang cukup mudah menghukum dan menilai sesiapa sahaja serta apa jua tindakan yang dilakukan.

Bagi umat Islam, ingatlah pengajaran di dalam Al-Quran;

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang)…dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Hujurat, Ayat 12)

Antara golongan yang sering dikritik adalah kakitangan polis. Segala keburukan mereka dicanangkan di khalayak umum, namun kebaikan mereka tidak pula diberi perhatian sama.

Adakah kita sanggup untuk meronda kawasan sekitar, dengan kesedaran bahawa kita boleh diserang dan dibunuh pada bila-bila masa?

Sewaktu kita tidur nyenyak dan selamat di rumah diwaktu malam, mereka inilah yang berada di balai-balai polis seluruh negara yang berjaga memantau keselamatan.

Pada waktu sedemikianlah serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram telah berlaku, mengorbankan dua orang anggota dan mengakibatkan kecederaan parah kepada seorang lagi yang bertugas.

Daripada mencari kesalahan, bolehkah kita sebaliknya lebih berterima kasih kepada pasukan-pasukan keselamatan kita?

Mereka yang berkhidmat sebagai polis, askar tentera darat, tentera laut, tentera udara dan bomba memastikan negara kita terkawal dan kita dapat hidup dalam keadaan selamat dan aman.

Media sosial juga tidak mencerminkan sisi kita yang terbaik dalam soal ini. Kita memilih untuk merungut, tetapi tidak pula kita bersyukur kerana kita bernasib baik dapat hidup dalam sebuah negara yang aman secara amnya, malah tidak terbabit dalam sebarang peperangan.

Setiap kali anda melihat seorang tentera, polis, bomba atau mana-mana badan berkaitan, sedarlah bahawa mereka merupakan lelaki dan wanita yang hidup berjauhan dari keluarga mereka, dan nyawa mereka boleh diancam pada bila-bila masa, tidak kira siang mahu pun malam.

Ingatlah bahawa kita boleh menikmati ketenangan di rumah bersama keluarga tersayang kerana adanya pihak yang menjaga dan memantau keselamatan serta keamanan di segala pelusuk negara kita, sama ada di tempat-tempat sunyi, mahupun kawasan penuh hiruk pikuk.

Semoga Allah SWT menempatkan Allahyarham Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Allahyarham Muhamad Syafiq Ahmad Said dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah. – NasionalDaily

-Raja Zarith Sofiah

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *