BERITA UTAMA

KKM pantau lonjakan kes Covid-19 di Singapura

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memantau dengan teliti trajektori gelombang peningkatan dua kali ganda kes Covid-19 yang dilaporkan oleh Singapura baru-baru ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia merupakan gabungan kes melibatkan dua sub varian iaitu KP.1 dan KP.2 sekali gus menyumbang lebih dua pertiga kes Covid-19 di Singapura.

“Di Malaysia, jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan pada 12 hingga 18 Mei 2024 ialah 1,230 berbanding 1,071 kes pada minggu sebelumnya dengan peningkatan 14.8 peratus.

“Tiada kematian baharu akibat Covid-19 dilaporkan sejak 25 April 2024,” tambahnya menerusi perkongsian di aplikasi X.

Mengenai varian yang menular ketika ini, beliau berkata KKM telah melaporkan setiap KP 1.1 dan KP.2.1 pada Mac 2024, dengan kedua-duanya hanya mengalami gejala ringan dan tidak melaporkan sebarang peningkatan ketara dalam kes Covid-19.

Justeru, beliau berkata KKM akan terus memantau keadaan tersebut sementara memberi jaminan sistem kesihatan ketika ini bersedia untuk menghadapi sebarang lonjakan kes.

“Orang ramai digalakkan untuk mengekalkan kebersihan diri yang baik dan mengurangkan interaksi sosial apabila berasa tidak sihat.

“Orang ramai juga digalakkan memakai pelitup muka jika dalam kumpulan berisiko tinggi, di kawasan yang sangat sesak, atau apabila bergejala,” tambahnya lagi.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *