KUALA LUMPUR – “Bayangkan, kalau peluru itu kena pada saya, sudah tentu bayi dalam kandungan saya akan meninggal dan kesihatan saya juga merosot seperti Along,” kata Farah Cie.
Ahli perniagaan itu yang menjadi sasaran utama suaminya, Hafizul Hawari dalam kes tembakan di KLIA 1 April lalu berkata, beliau amat bersimpati dengan keadaan dan kesihatan pegawal peribadinya, Muhammad Nur Hadith yang terkena peluru dari tembakan itu.
“Saya tengok pun sudah rasa nyilu.. bayangkan jika peluru itu kena pada saya, sudah tentu bayi dalam kandungan saya akan meninggal dan kesihatan saya juga merosot seperti Along,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, malam tadi.
Beliau yang berada di tanah air selepas menguruskan jemaah haji, malam tadi mengambil kesempatan ziarah Muhammad Nur Hadith yang lebih mesra dengan panggilan Along.
“Malam ini saya menziarah Along iaitu bodyguard saya kes tembakan di KLIA. Sejak dari kes itu saya tidak berkesempatan melawat Along ketika berada di ICU Hospital Cyberjaya kerana tidak dibenarkan melawat kecuali keluarganya.
“Beberapa hari kemudian saya ke Hospital Cyberjaya berjumpa dengan isteri Along, ketika itu Along masa dalam keadaan koma. Saya berjumpa isteri Along, ibu dan ayah Along.
“Malam ini saya dapat ziarah Along serta bersembang dengan Along. Alhamdulillah, Along semakin sihat cuma di bahagian perut Along ada benjolan dan mengeras,” katanya.
Menurut Farah Cie, doktor beri temujanji seterusnya pada November ini, namu, terlalu lama untuk Along mendapatkan rawatan kerana perut Muhammad Nur Hadith mula membuncit.
“Saya terhutang nyawa dengan Along, kerana cerita Along, dia memegang tanggungjawabnya menjaga pelanggan. Ini mengingatkan pesanan emak saya, agar jaga saya baik-baik.
“Along tidak mengelak apabila diacukan pistol dan mengambil langkah terus menghalang saya dari terkena tembakan itu.
“Kini Along sudah seperti keluarga saya dan tanggungjawab saya. Along tidak dapat bekerja serti biasa dan tidak boleh kerja lasak. Apabila berdiri atau berjalan sudah terlalu cepat keletihan,” katanya.
Katanya lagi, berat Along susut 30kilogram dan mungkin tidak akan naik kerana selera makan berkurangan serta cepat penat.
Beliau juga menyatakan, banyak perubahan pada diri Along sebelum dan selepas terkena tembakan itu.
“Sungguh saya terhutang nyawa kepada beliau. Bagi saya, Along layak diberi penghargaan kerana berani dan bertanggungjawab memegang amanah dalam tugasannya.
“Saya mohon semua mendoakan kesihatan Along seperti sedia kala. Along ada tanggungjawabnya kepada isteri serta tiga anak dan bakal melahir seorang lagi cahayamata pada November ini. Insha-Allah,” katanya. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252