BERITA UTAMA

Apa jadi pendidikan Malaysia?

LAPORAN Bank Dunia mengenai tahap pendidikan sekolah di Malaysia membimbangkan.

Keamatan tempoh masa pembelajaran murid 12.5 tahun hanya bersamaan 8.9 tahun berbanding Vietnam 10.7 tahun, manakala Singapura 13.9 tahun bersamaan 12.8 tahun.

Ini bermakna defisit masa pembelajaran 3.7 tahun yang menggambarkan satu pembaziran masa pembelajaran murid.

Apa yang harus dilakukan oleh Kementerian Pendidikan? Menyalahkan alat penilaian seperti UPSR dan PMR? Yang akhirnya dimansuhkan. Sama juga kes ini, salahkan kajian Bank Dunia?

Masalah yang mendasar pendidikan sekolah di Malaysia ialah amalan instruksional yang longgar melibatkan pengurusan dan pelaksanaan pembelajaran murid. Ini ada kaitan dengan amalan yang melibatkan faktor manusia, iaitu ehsan.

Falsafah Pendidikan Negara dan Dasar Pendidikan Nasional sangat jelas membentuk  Sistem Pendidikan Negara. Akarnya yang menjadi cabaran ialah amalan pendidikan di sekolah. Faktor anjal mobiliti sekolah yang boleh dikawal ialah sistem penyampaian iaitu instruksional.

Fahami dan hayati apa fungsi guru? Iaitu mendidik, bukan menternak. Proses mendidik melibatkan belajar, mengajar dan membimbing. Kepakaran, metodologi dan teknologi adalah medium sokongan yang dijadikan pendekatan serta strategi dalam proses pembelajaran dan pengajaran (PdP).

Fokus PdP sebenarnya ialah pembelajaran murid. Proses ini tidak akan bermakna jika pembelajaran murid tidak tercapai.

Fungsi, peranan dan tanggungjawab guru ialah pembelajaran murid. Walaupun proses PdP berlaku, tetapi pembelajaran tidak berlaku tidak ada maknanya.

Pembelajaran Aras Rendah bermaksud murid tahu, faham dan ingat. Sepatutnya dalam proses PdP, Aras Rendah perlu diberi perhatian yang lebih kerana pembelajaran di tahap yang lebih tinggi bermula dari Aras Rendah.

Mungkin pengabaian Aras Rendah menjadi punca tempoh masa pembelajaran 12.5 tahun hanya bersamaan 8.9 tahun mengikut kajian Bank Dunia. Ini bermakna defisit hasil pembelajaran 3.6 tahun telah membuang masa.

Pembelajaran murid perlu sistem pengurusan yang efisien, fungsional dan berimpak tinggi. Proses yang melibatkan perancangan, pelaksanaan dan penilaian.

Pihak pengurusan di Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah terlibat mengurus pembelajaran (managing learning). Guru di sekolah melaksanakan proses pembelajaran.

Kompetensi, sikap dan ehsan mereka yang diamanahkan di semua peringkat tertinggi Kementerian Pendidikan hingga ke sekolah mempunyai akauntabiliti terhadap pembelajaran murid.

Untuk pencapaian yang bukan hanya ubah kurikulum, tetapi perlu beri perhatian terhadap keberkesanan kepimpinan instruksional terutama di sekolah dan PPD.

Mereka ini perlu dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran kepimpinan instruksional serta diperdalami Ilmu Ehsan untuk membentuk sikap dan akhlak mengamalkan nilai murni.

Bagi umat muslim, matlamat pendidikan hanya untuk dunia semata-mata iaitu fardu kifayah, tetapi yang penting ialah akhirat.

Untuk mengekalkan momentum, semangat dan enthusiasm, guru perlu diberi penyegaran melalui kursus kepakaran, bina semangat, team building, seminar dan sebagainya untuk meningkatkan kompetensi, semangat dan ehsan guru dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab menunaikan fungsi dan peranannya dalam proses pembelajaran.

Tidak perlulah terpaling ghairah kononnya untuk mencapai pendidikan tahap dunia. Pakar Pendidikan ikutan tanpa turun ke lapangan hanya berdasarkan atas kertas.

Negara maju dalam bidang pendidikan menjadi idola seperti Finland, Amerika Syarikat, Jepun dan sebagainya. Matlamat mereka hanya untuk kehidupan dunia semata-mata, tetapi bagi muslim, kita perlukan keseimbangan dunia dan akhirat perlu ada piawaiaan tersendiri.

Pendidikan bukanlah perkara baharu. Bermula sejak Nabi Adam a.s lagi diajar oleh Allah SWT. Fokus perlu kepada sumber manusia yang merealisasikan pencapaian pendidikan. Kurikulum biarlah bersesuaian keperluan murid dan aspirasi negara.

Kurangkan politiking pendidikan yang menjadi polemik menimbulkan kegelisahan rakyat. Kenyataan sensasi Kementerian Pendidikan yang menimbulkan kecelaruan, kesangsian dan kegelisahan rakyat tidak sepatutnya berlaku. – NasionalDaily

Blue and Yellow Abstract Blob Shapes Family Tree – 5

Nasir Othman ialah Pengerusi Biro Pendidikan Putra merangkap ADT Putra

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *