BERITA UTAMA

Istiadat Pertabalan YDP Agong 20 Julai, sambutan Hari Keputeraan pada September

PUTRAJAYA – Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan dilangsungkan pada 20 Julai ini, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, beberapa acara sempena istiadat itu telah dirancang dan pada masa sama baginda berkenan menangguhkan sambutan ulang tahun keputeraan 3 Jun ini kepada September.

“Sebagaimana kita maklum Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Rabu, 31 Januari 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pasca Mesyuarat Jawatankuasa Khas Acara-acara sempena Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII di sini, hari ini.

Sehubungan itu, kata Fahmi, kerajaan dengan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan melaksanakan beberapa acara sempena Istiadat Pertabalan.

Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat pada Khamis, 18 Julai, jam 5.30 petang di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Khutbah Khas dan Solat Jumaat pada 19 Julai, jam 1.15 tengah hari di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada hari Sabtu, 20 Julai jam 10 pagi dan Majlis Santapan Diraja jam 8.30 malam di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dijadualkan melawat Hospital Orang Asli Gombak pada Selasa, 23 Julai jam 9.30 pagi dan Pameran Raja Kita di Muzium Negara pada 25 Julai, jam 11 pagi.

Fahmi turut memaklumkan, Majlis Jamuan Teh Diraja akan berlangsung pada Sabtu, 27 Julai, jam 3 petang di Istana Negara, Kuala Lumpur.

“Kita sedang menyelaras sejumlah aktiviti termasuk perbincangan dengan pihak media mengenai kandungan yang boleh kita sediakan sepanjang minggu menuju ke hari pertabalan.

“Kita sedia maklum, istiadat pertabalan ini penuh simbolik dan tidak selalu kita dapat saksikan. Maka, ini peluang baik untuk rakyat Malaysia memahami lebih mendalam dan memupuk rasa cinta terhadap institusi diraja dan bagaimana ia diamalkan di Malaysia di bawah konsep Raja Berperlembagaan,” katanya. – NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *