PONTIAN – Seorang lelaki ditemui rentung di sebuah kedai tiga tingkat yang terbakar di Jalan Mutiara 1, Taman Mutiara, dekat sini, semalam.
Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, PPgB Mahadir Mamat berkata, pihaknya menerima maklum kejadian dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor pada jam 12.29 tengah hari.
Katanya, seramai 19 anggota dari dua BBP iaitu Pontian dan Pontian Baru telah digerakkan ke lokasi dengan bersama dua jentera FRT, kenderaan Unit EMRS dan Navara serta disusuli kehadiran Pegawai Penyiasat Kebakaran.
“Kebakaran melibatkan sebuah kedai tiga tingkat berkeluasan 20 x 70 kaki persegi dan kebakaran berlaku di tingkat 2 bangunan itu yang telah diubahsuai menjadi bilik sewa.
“Dianggarkan terdapat enam bilik di tingkat 2 tersebut telah terjejas dan musnah akibat kebakaran yang dianggarkan 60 peratus kemusnahan.
“Pasukan Bomba bertindak menjalankan kerja pemadaman menggunakan sumber air dari pam kedua-dua jentera dan berjaya dikawal pada jam 2.16 petang,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, dalam kejadian itu, anggota Bomba menemui seorang mangsa telah rentung dalam sebuah bilik berhampiran dapur.
Ujarnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan kes kebakaran bangunan itu telah diambil alih oleh Pegawai Penyiasatan Kebakaran (FIO) bagi mengenal pasti punca serta anggaran kerugian. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252