BERITA UTAMA

Buruh ladang maut dirodok gading gajah

GUA MUSANG – Seorang buruh ladang warganegara Bangladesh dijumpai maut dalam keadaan perutnya terburai dipercayai akibat dirodok gading seekor gajah di sebuah ladang di Kampung Om, Pos Blau, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, mangsa, Md. Nawsher Ali, 29, dijumpai sudah meninggal dunia di tengah-tengah laluan masuk ke ladang tersebut, lapor Kosmo! Online.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo dilaporkan berkata, siasatan mendapati, mangsa keluar dari rumah kongsi bersama rakan-rakannya ke kawasan ladang pokok hutan spesies Albizia.

Katanya, semasa dalam perjalanan pulang dari ladang, sekumpulan warga asing itu telah terserempak dengan seekor gajah yang turun dari selekoh sebuah bukit.

“Mereka terkejut melihat gajah itu sebelum bertindak melarikan diri. Berdasarkan keterangan saksi, Md. Nawsher tidak sempat lari telah dirodok oleh gading gajah tersebut pada bahagian perutnya.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Choon Foo memberitahu, siasatan lanjut mendapati, perut mangsa terburai akibat dirodok gading haiwan itu selain terdapat kesan tapak kaki gajah berhampirannya.

“Mayat mangsa dibawa oleh pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat. Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *