BERITA UTAMA

Zahid garis formula untuk UMNO kembali dominan, tambah kerusi di Parlimen

BAGAN DATUK – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid menggariskan ‘formula’ untuk UMNO menambah dominasi di Dewan Rakyat berbanding 26 kerusi Parlimen sedia ada disandang parti diterajuinya ketika ini.

Menurut Presiden UMNO, bagi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), parti mahu merampas kembali kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang calonnya tewas dan berada di kedudukan kedua pada PRU15 serta Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, formula itu boleh digunakan dan akan dibincang bersama parti lain dalam Kerajaan Perpaduan untuk diselesaikan.

“UMNO pernah dominan, kita berasa ada beberapa pendekatan, terutama di kawasan Parlimen dan DUN yang kita kalah (PRU dan PRN), berada di kedudukan kedua. Maka formula ini mungkin boleh dibincang, digunakan dan diselesaikan oleh parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dipetik Berita Harian.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Berkelompok Tahunan UMNO Cawangan-Cawangan Empat Peringkat dalam bahagian Bagan Datuk di Kompleks UMNO, di sini hari ini.

“Walaupun kita jadi kerajaan negeri di Johor, Melaka, Pahang dan Perak, walaupun kita bersama parti lain dalam Kerajaan Perpaduan, tentunya UMNO berazam untuk meraih kemenangan lebih daripada apa yang diperolehi (pada PRU, PRN sebelum ini),” katanya.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, jumlah kerusi sasaran untuk UMNO hanya akan diumumkan menjelang PRU16 yang berbaki kira-kira tiga tahun lagi.

“Keutamaan UMNO ketika ini adalah menyusun jentera serta memperkukuh penyatuan dalam kalangan ahli di semua peringkat termasuk akar umbi supaya kekuatan UMNO berjaya dibina semula. Apabila tiba masanya, saya akan memberitahu berapa kerusi akan kita tandingi,” katanya.

Terdahulu bulan lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO dan BN terbuka dan komited dalam menyokong inisiatif untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan selepas PRU16 demi kestabilan politik, bersedia menyokong sebarang saranan demi mewujudkan sebuah negara yang stabil khususnya dalam aspek politik dan ekonomi.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri yang mengulas hasrat PKR mahu memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri buat penggal kedua, berharap semua 18 parti yang bekerjasama membentuk kerajaan Perpaduan dapat dikekalkan.

Kerajaan Perpaduan dibentuk oleh 18 parti, terdiri lima gabungan politik, iaitu Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan).

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, tiada satu pun daripada hampir 22,000 cawangan UMNO di seluruh negara dibubarkan, bukti dokongan padu ahli di peringkat akar umbi kepada kepimpinan parti.

“Jumlah ahli semakin bertambah biar pun kita melakukan pemutihan terhadap ahli yang meninggalkan parti. Di Sabah umpamanya, saya diberitahu terdapat antara 2,500 sehingga 5,000 orang menghantar permohonan keahlian setiap sebulan,” katanya. – BH

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *