Fiorentina layak ke final Liga Konferens Europa

BRUGES, Belgium – Fiorentina layak ke final Liga Konferens Europa bagi kali kedua berturut-turut awal pagi tadi menerusi sepakan penalti lewat aksi yang membantu kelab Itali itu seri di Club Brugge dan mara 4-3 secara agregat.

Lucas Beltran menyempurnakan sepakan penalti melepasi Simon Mignolet pada minit ke-85 ketika Fiorentina bangkit susulan gol pembukaan Maxim de Cuyper untuk kembali dengan kelebihan satu gol daripada aksi separuh akhir pertama dan menempah tiket ke final di Athens pada 29 Mei ini.

Fiorentina kini berpeluang untuk menebus kekalahan 2-1 kepada West Ham tahun lalu apabila mereka berdepan sama ada kelab England, Aston Villa atau Olympiakos dari Greece pada final.

“Ia satu perjalanan hebat, saya amat gembira… kami layak ke final sekali lagi,” kata jurulatih Fiorentina, Vincenzo Italiano.

Selepas menang aksi pertama 3-2 di laman sendiri menerusi gol kemenangan M’Bala Nzola pada minit ke-91, Fiorentina sekali lagi bertindak hebat pada hujung perlawanan di Bruges ketika mereka bertarung dengan tuan rumah dalam perlawanan seimbang.

Tuan rumah mendahului selepas 20 minit apabila De Cuyper yang tidak dikawal menanduk masuk gol susulan hantaran lintang Hans Vanaken ke kawasan bahaya.

Bagaimanapun Fiorentina memecah kebuntuan lapan minit sebelum tamat.

Sepakan penalti diberikan apabila pemain gantian Nzola dikasari oleh Brandon Mechele ketika penyerang itu cuba menanduk bola.

Beltran tampil dan berjaya menyudahkan penalti itu, sekalipun Mignolet melayangkan badannya ke arah kanan dan berjaya menampan bola dengan jarinya tetapi bola tetap menerjah jaring.

Suasana tegang memuncak dan pemain Brugge, Denis Odoi meraih kad kuning kedua sekali gus dibuang padang.

Awal pagi esok, Olympiakos mendahului 4-2 ke atas Aston Villa menjelang aksi separuh akhir kedua di laman sendiri. – AFP

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *