BERITA UTAMA

Simbah asid: Sultan Selangor titah PDRM siasat hingga ke akar umbi, cari segera pelaku

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat sehingga ke akar umbi dan segera mencari dan menangkap pelaku dalam kejadian menimpa pemain Selangor FC, Faisal Halim pada Ahad.

Istana Alam Shah menerusi satu kenyataan memaklumkan, Sultan Sharafuddin yang merupakan Penaung Selangor FC, dan Pengerusi Selangor FC Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bermoral itu.

Baginda memandang serius insiden tersebut dan mahu siasatan turut mengambil kira kemungkinan ia melibatkan kegiatan kumpulan atau samseng bola sepak.

Sultan Sharafuddin juga menzahirkan rasa kecewa dan menganggap kejadian seumpama itu sebagai melampau kerana melibatkan nyawa ahli-ahli sukan.

“Baginda khuatir jika insiden seperti ini tidak dibanteras segera, ia akan terus melarat sehingga boleh mengundang perkara lebih buruk pada masa akan datang.

“Baginda mendoakan agar Faisal Halim kembali sihat seperti sediakala dan dapat meneruskan khidmat sebagai pemain untuk pasukan Selangor FC,” titah baginda.

Astro AWANI pada Ahad melaporkan pemain sayap Selangor FC, Faisal cedera di muka, kepala dan badan akibat disimbah cecair dipercayai asid.

Selangor FC menerusi satu kenyataan menegaskan pihaknya memandang serius insiden menimpa Faisal pada petang Ahad itu.

Menurut Selangor FC, pihaknya akan bekerjasama dengan PDRM dan pihak berkuasa untuk melaksanakan siasatan terperinci untuk mengenal pasti sesiapa yang terlibat.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *