Impact Capital, KeenData perkasa bakat AI Malaysia menerusi kerjasama strategik

KUALA LUMPUR – Impact Capital Holdings Bhd (Impact Capital) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Impact Business Solutions Sdn Bhd (IBS), memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Beijing Kejie Technology Co Ltd (KeenData) bagi memperluas penggunaan perisian asas Data dan Kecerdasan Buatan (AI) di Malaysia.

Kerjasama strategik selama tiga tahun itu memberi tumpuan kepada pembangunan bakat berkemahiran tinggi, pemindahan teknologi serta memperkukuh infrastruktur digital negara bagi mendepani perkembangan era AI.

Menerusi MoU berkenaan, kedua-dua pihak akan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program latihan, pertukaran kakitangan dan pembangunan profesional bagi meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan dalam teknologi Data dan AI.

Selain itu, program pensijilan khusus akan diwujudkan bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu menyokong pelaksanaan serta pembangunan perisian asas Data dan AI dalam ekosistem digital Malaysia.

Kedua-dua syarikat turut merancang penganjuran seminar, webinar, bengkel, persidangan dan pameran perdagangan bagi memperluas pemahaman serta penerimaan teknologi berkenaan dalam kalangan perusahaan tempatan.

Inisiatif itu dijangka menyediakan platform kepada pakar industri, pihak berkepentingan dan inovator untuk berkongsi pandangan selain mengetengahkan penggunaan teknologi terkini dalam bidang seperti pembangunan bandar, bandar pintar dan pengurusan tenaga.

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Impact Capital Holdings Bhd, Chyr Ye Hong berkata, keupayaan memanfaatkan data secara berkesan kini semakin penting bagi meningkatkan kecekapan operasi dan mencetuskan inovasi perniagaan ketika organisasi mempercepat transformasi digital.

“Melalui kerjasama strategik dengan KeenData ini, kami berharap dapat menggabungkan kepakaran pasaran tempatan kami dengan keupayaan perisian asas Data & AI KeenData yang canggih untuk menyokong perusahaan Malaysia dalam perjalanan transformasi digital mereka,” katanya.

Dari aspek pengembangan komersial, IBS dan KeenData akan bekerjasama dalam inisiatif jualan serta pembangunan perniagaan merentasi sektor utama termasuk bandar pintar, taman pintar, pembuatan, infrastruktur, perancangan bandar, teknologi kewangan (fintech) dan peruncitan.

Kerjasama itu turut melibatkan pembangunan penyelesaian khusus mengikut keperluan pasaran tempatan, termasuk penyepaduan perisian asas ke dalam sistem perusahaan sedia ada selain penyediaan perkhidmatan selepas jualan serta sokongan teknikal.

KeenData yang merupakan syarikat teknologi dari China, mempunyai kepakaran dalam infrastruktur data asli AI serta penyelesaian analitik pintar, selain pengalaman menyokong inisiatif transformasi digital syarikat berstatus Fortune Global 500.

MoU yang dimeterai di Shanghai pada 20 Julai 2026 itu menyediakan rangka kerja kerjasama awal selama tiga tahun dan mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memacu inovasi teknologi, memperkasa pembangunan perisian asas Data dan AI serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *