BERITA UTAMA

Kekurangan pusat jagaan kanak-kanak, sekolah padat perlu solusi holistik – Faiz

KUALA LUMPUR – Kekurangan pusat jagaan atau asuhan anak yang murah, tetapi berdaftar dan berkualiti adalah masalah besar membelenggu ibu bapa terutama pasangan muda.

Pengerusi Parti Amanah Pulau Pinang, Faiz Fadzil berkata, di sesetengah kawasan bandar, yuran bagi seorang anak di pusat swasta melebihi RM1,000 sebulan dan kos itu semakin meningkat tahun ke tahun.

Katanya, ketika ramai dihimpit beban hutang yang tinggi dan gaji tidak cukup, kos itu sangat membelenggu urusan kewangan rakyat dan masalah kekurangan pusat jagaan mampu milik serta berkualiti harus diberikan perhatian segera, terutama di kawasan tumpuan penduduk.

Justeru, kata beliau, isu itu adalah sesuatu yang serius dan solusi holistik harus dicari.

“Pertama, adalah dicadangkan kerajaan pusat dan negeri membuka lebih banyak pusat jagaan berkos rendah di kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi. Ketika ini, terdapat Taska KEMAS yang disediakan, namun bilangannya tidak memadai.

“Daripada 490 Taska KEMAS pada tahun 2016 kepada 519 sekarang, bermaksud bilangan itu hanya bertambah tiga hingga empat taska setahun secara purata di seluruh negara.

“Bukan itu sahaja, Taska KEMAS juga hanya mengasuh anak berumur 2 hingga 4 tahun dan kemudian 4 hingga 6 tahun di Tadika KEMAS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kata Faiz, ini menyebabkan tidak adanya pusat jagaan untuk bayi sehingga umur dua tahun dan ibu bapa terpaksa menghantar ke pusat jagaan tidak berdaftar untuk mengelakkan kos yang tinggi.

Cadangan kedua, menurut beliau, satu mekanisme baharu diperkenalkan, di mana kerajaan pusat dan negeri bekerjasama dengan pusat jagaan swasta untuk mengurangkan beban ibu bapa, terutama pasangan muda.

“Bagi keluarga berpendapatan rendah, kerajaan pusat dan negeri mungkin boleh membayar sebahagian yuran bulanan bagi setiap anak yang dihantar ke pusat jagaan.

“Ketiga, dicadangkan juga pelaksanaan konsep “Build, Operate & Transfer”, di mana pihak swasta akan membina dan menjaga operasi pusat jagaan serta kerajaan membayar kos tahunan sehingga pada satu ketika, hak milik pusat jagaan tersebut akan berpindah kepada kerajaan.

“Pada masa sama, isu sekolah padat dan kekurangan sekolah kebangsaan harus diberi tumpuan segera kerana semakin banyak sekolah terpaksa menambah bilangan kelas sehingga satu kelas mempunyai 45 hingga 50 murid,” ujar beliau.

Katanya, trend itu tidak sihat kerana merencatkan tumpuan murid dalam bilik darjah, sekali gus meningkatkan tekanan kerja guru.

Jelas beliau lagi, Malaysia memerlukan solusi komprehensif bagi menyelesaikan isu jagaan kanak-kanak dan pemantapan kualiti sekolah kebangsaan.

“Perkara ini adalah isu generasi akan datang dan mesti diutamakan untuk membina masyarakat MADANI masa hadapan yang akan memimpin dan membangunkan negara,” katanya. – Nasionaldaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *