BERITA UTAMA

Faisal Halim disimbah asid, Hannah Yeoh gesa PDRM ambil tindakan segera

SHAH ALAM – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menggesa polis mengambil tindakan kepada pelaku yang menyimbah asid kepada pemain sayap skuad Harimau Malaya, Faisal Halim semalam.

Menerusi hantaran di Aplikasi X, beliau menegaskan, keganasan tidak sepatutnya berlaku dalam bidang sukan negara.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya keganasan terhadap atlet. Tiada keganasan dalam sukan! Saya meminta @PDRMsia untuk segera mengambil tindakan terhadap pelaku,” katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Faisal atau lebih dikenali sebagai ‘Mickey’ telah disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat membeli-belah di Damansara.

Menerusi gambar yang tular di media sosial, pemain Selangor FC itu kelihatan mengalami kecederaan di badan dan tangan akibat kejadian tersebut.

Bagaimanapun, dia telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan ini merupakan kes kedua melibatkan pemain bola sepak.

Sementara itu, Selangor FC telah mengesahkan kejadian itu dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengenal pasti individu yang terlibat.

“Selangor FC memandang serius perkara ini dan akan bekerjasama dengan PDRM serta pihak berkuasa untuk melaksanakan siasatan terperinci mengenal pasti sesiapa yang terlibat.

“Selangor FC menyeru penyokong dan peminat bola sepak seluruh negara untuk mendoakan dan memberi sokongan moral kepada Faisal Halim sekeluarga serta menghormati privasi beliau dan keluarganya pada masa ini,” kata kenyataan itu.

Pada Khamis, pemain bola sepak Terengganu FC, Akhyar Rashid disamun di hadapan sebuah kondominium di Kuala Terengganu.

Akhyar mengalami kerugian lebih RM4,800, selain dipukul menggunakan senjata besi boleh laras.

Akibat kejadian itu, Akhyar yang dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menerima enam jahitan iaitu empat jahitan pada bahagian atas kepala dan dua jahitan di atas tapak kaki kiri selain sakit pada anggota badan. – Sinar Harian

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *