BERITA UTAMA

Wira Putra harap kerajaan tak terima cadangan buka kuota kepada bukan bumiputera di UiTM bagi pascasiswazah perubatan

KUALA LUMPUR – Terdapat sekurang-kurangnya 11 universiti awam di Malaysia yang menawarkan bidang perubatan di peringkat Sarjana Muda, Sarjana dan Kedoktoran, kata Ketua Pergerakan Wira Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Nasrul Ali Hasan Abdul Latif,

Namun, katanya, kenapa perlu disentuh atau dimasukkan nama UiTM dalam senarai cadangan supaya buka kuota kepada bukan bumiputera bagi pascasiswazah perubatan?

Jelas beliau, apa signifikan, masalah dan kekurangan 10 universiti awam lain, yang ada dalam kalangannya di kedudukan cemerlang serta diiktiraf peringkat dunia dalam bidang perubatan?

“Apakah alasannya sehingga UiTM dipolitikkan oleh seorang doktor yang berkemahiran? Alasan kurangnya doktor dan jururawat mahir bukan terletak berapa ramai graduan pascasiswazah dari UiTM semata-mata.

“Atau, adakah sebab fasiliti? Banyak institusi pengajian di Malaysia yang menawarkan kursus seumpamanya dan melahirkan graduan berkebolehan.

“Selain mengambil bukan bumiputera, ramai juga lagi pengamal perubatan bumiputera berpotensi boleh ditawarkan dan diberi insentif meneruskan pengajian peringkat pascasiswazah di UiTM, manakala yang bukan bumiputera ditawarkan ke universiti lain seperti Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial seorang pengamal perubatan, Prof. Dr. Raja Amin Raja Mokhtar mencadangkan UiTM dibuka kepada bukan bumiputera terutama bagi kemasukan pascasiswazah bidang perubatan demi mengekang masalah kekurangan doktor di negara ini.

Cadangan itu kemudiannya dipertahankan anaknya, pelakon dan model Alicia Amin yang menyifatkan sebagai cakna dengan kekurangan doktor dan jururawat di pusat kesihatan kerajaan yang menjadi masalah mutakhir ini.

Menurut Nasrul Ali Hasan, Wira Putra pula berpendapat kekurangan tenaga mahir itu adalah masalah peluang pekerjaan yang tidak cukup mengikut kemahiran di Malaysia.

Katanya, ramai graduan dalam bidang perubatan yang tamat belajar, tetapi tidak dapat bekerja dalam negara, akhirnya terpaksa berkhidmat di luar negara.

“Bidang perubatan memerlukan latihan dan praktikal yang kerap untuk meningkatkan tahap kemahiran pengamalnya. Namun, jika peluang pekerjaan tidak tersedia oleh kerajaan, kemahiran tidak dapat dipraktis bagaimana mereka dapat meningkatkan kemahiran sebelum menambah lagi pengetahuan di peringkat pascasiswazah?

“Kita hairan mengapa bukan bumiputera dan segelintir bumiputera yang berjaya hari ini hasil dari dasar bumiputera yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan tertumpu pada pembukaan kuota UiTM semata-mata?

“Sedangkan, pendidikan perlu disatukan dari peringkat awal iaitu dari sekolah kebangsaan. Tetapi penyokong vernakular masih menolak usaha perpaduan ini kerana kononnya tak nak berlaku hilangnya identiti bangsa asal mereka, walhal sifat rasis ini yang merosakkan masa depan negara,” ujar beliau.

Katanya, sekolah kebangsaan kebanyakannya memiliki fasiliti hanya tahap mengikut kemampuan kerajaan sahaja.

“Itu pun ada sebahagian yang dah outdated dan tak diselia serta dibaik pulih sepenuhnya apabila berlaku kerosakan. Nak dibandingkan dengan sekolah vernakular yang mempunyai kelengkapan pembelajaran yang lebih baik, tetapi langsung tak mahu berkongsi bagi menambah baik mutu dan melahirkan para pelajar di Malaysia yang berkualiti untuk kebaikan masa depan negara.

“Semuanya mesti bermula dari asas, bukan peringkat profesional sahaja kita beriya-iya buka untuk semua, sedangkan dari peringkat awal dan mereka tak fikir pun mengenai kebaikan negara pada masa depan.

“Bagilah apa jua alasan, UiTM wajib kekal dengan identiti asal sebagai institusi kekal bagi bumiputera. Apa yang tinggal lagi untuk bumiputera kalau yang berbaki pun hendak digadai,” katanya. – Nasionaldaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *