BERITA UTAMA

Kenapa sekolah vernakular dijadikan isu, anak pemimpin Pas pun ada masuk SJKC

HULU SELANGOR – Pas masih tidak boleh menerima kewujudan sekolah vernakular yang menjadi pilihan ibu bapa di Kuala Kubu Bharu.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching yang mempersoalkan perkara itu berkata, beliau hairan mengapa Pas masih menjadikan perkara itu sebagai isu, sedangkan ada pemimpin mereka sendiri menghantar anak belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

“Saya tidak tahu mengapa perkara berkenaan (sekolah vernakular) boleh jadi satu isu. Ini menunjukkan sampai kini Pas tidak boleh terima sekolah vernakular dan tak boleh terima pilihan hak ibu bapa.

“Jadi, saya rasa adakah pengundi Kuala Kubu Bharu mahu menyokong seorang calon yang datang daripada Perikatan Nasional (PN),” katanya selepas mengiringi calon Pakatan Harapan (PH) daripada DAP, Pang Sock Tao melakukan walkabout di pekan Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berharap isu calon PH DUN Kuala Kubu Bharu yang mendapat pendidikan di sekolah vernakular akan ‘berterusan’ hingga Pilihan Raya Kecil (PRK) 11 Mei ini.

Tanpa menjelaskan lebih lanjut mengenai harapannya itu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut memohon maaf kerana menyusahkan Sock Tao yang terpaksa mendedahkan keputusan dan sekolahnya di peringkat rendah serta menengah.

Terdahulu, Sock Tao mendedahkan keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menunjukkannya mendapat semua A dalam mata pelajaran diambil.

Menerusi slip keputusan dikongsinya, ahli DAP itu menduduki UPSR di SJKC On Pong, Hulu Langat, manakala, di peringkat SPM di Sekolah Menengah Chung Hua, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Sementara itu, Nie Ching berharap pemimpin parti lawan dapat mengamalkan politik baharu yang matang dalam PRK Kuala Kubu Bharu.

“Saya rasa serangan daripada pemimpin sebelah sana setakat ini bukan satu pertandingan atas idea. Ini bukan nak sebut siapa akan bawa (manfaat) untuk pengundi di Kuala Kubu Bharu, sebaliknya mahu serang latar belakang pendidikan dia (Sock Tao), sedangkan ada Ahli Parlimen PAS sendiri mengakui di Dewan Rakyat beliau hantar anak ke SJKC,” katanya. – Laporan Berita Harian

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *