BERITA UTAMA

Suspek kes tembak di KLIA hadapi tujuh pertuduhan

KOTA BHARU – Seorang pengurus sebuah syarikat agensi pelancongan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api pada 15 April lalu.

Tertuduh, Hafizul Hawari, bagaimanapun mohon dibicarakan terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki senjata api jenis pistol Glock 19 Austria, Made in Turkey yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37] yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali.

Pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki 33 butir peluru PMC 380 AUTO tanpa lesen sah mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 [Akta 206] boleh dihukum di bawah Seksyen 8 akta sama yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih 10-ribu ringgit atau kedua-duanya.

Pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu, bagi pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga keping kad pengenalan milik tiga individu lain yang menjadi kesalahan per 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau dengan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Pertuduhan ketujuh, lelaki itu didakwa memandu kereta jenis Honda Civic, warna Putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dihukum di bawah akta sama.

Kesemua pertuduhan itu dilakukan di dalam sebuah kereta Jenis Honda Civic di perkarangan KPJ Perdana Specialist Hospital di sini, jam 2 petang, pada 15 April 2024.

Pendakwaan hari ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ahmad Faiz Fitri sebelum itu tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap semua pertuduhan dan memohon tertuduh menjalani perintah tahanan reman di penjara Sungai Buloh, Selangor.

Tertuduh dalam rayuannya memohon agar mahkamah membenarkan dirinya diikat jamin dan memohon untuk menghubungi ahli keluarga bagi lantikan peguam.

Hakim, Nik Habri bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, selain tertuduh juga mempunyai kes lain di Selangor, manakala tiga pertuduhan iaitu memiliki kad pengenalan individu lain boleh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan pertuduhan nombor pendaftaran palsu juga RM10,000.

Mahkamah menetapkan 23 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes, selain membenarkan tertuduh ditahan reman di Penjara Sungai Buloh, Selangor. – ND

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *