KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) telah berjaya menyelesaikan bayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi tahun 2023 sekali gus dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Super musim ini.
Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, KDA FC telah menyelesaikan semua tunggakan gaji pemain dan pegawai Liga Super, pasukan bawah 23 tahun, bawah 20 tahun dan bawah 18 tahun sebelum tarikh akhir Sabtu lalu.
“Berdasarkan surat bertarikh 18 April 2024 serta dokumen pembayaran yang telah diserahkan kepada MFL yang kemudiannya disemak oleh FIB, KDA FC telah berjaya melunaskan kesemua tunggakan gaji.
“Bagaimanapun, terdapat dua pemain yang masih belum mendapat bayaran berikutan kes masih dalam perbicaraan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Majlis Penyelesaian Resolusi Kebangsaan (NDRC) iaitu Lee Andrew Tuck dan Jonathan Boareto dos Reis.
“Namun kesemua bayaran tunggakan seperti yang diarahkan oleh FIB telah berjaya diselesaikan oleh KDA FC bagi membolehkan KDA FC kekal mendapat Lesen Kebangsaan untuk beraksi dalam Liga Super bagi musim 2024-2025,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, FIB tetap mengekalkan hukuman pemotongan tiga mata bagi pertandingan Liga Super musim ini dan denda RM 50,000.
“Ia selepas kegagalan KDA FC membuat penyelesaian penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023 pada tarikh akhir 30 Mac 2024 sebelum FIB memberi lanjutan masa sehingga 20 April 2024. – Laporan Sinar Harian
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!