BERITA UTAMA

Tiga lelaki tahan bas ekspres disahkan anggota JPJ

KUALA LUMPUR – Pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dibolehkan untuk tidak memakai seragam atau vest bagi tujuan penyamaran ketika melakukan operasi, kata kenyataan jabatan itu hari ini.

Katanya, pihaknya mengambil maklum video tular berkaitan tiga pegawai penguat kuasa JPJ tidak memakai seragam atau vest ketika melakukan operasi.

Malah, JPJ juga mengesahkan ketiga-tiga lelaki terbabit adalah pegawai penguat kuasa jabatan itu.

JPJ melakukan Operasi Khas Hari Raya Aidil Fitri (HRA) 2024 bermula 1 April lalu dan akan tamat pada 20 April ini bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terutama penumpang bas ekspres.

“Sepanjang operasi, jabatan ini menggunakan pelbagai kaedah termasuk melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya, pemeriksaan pemandu bas di terminal sebelum memulakan perjalanan dan pemantauan di lokasi sering berlaku kemalangan termasuk menggunakan teknologi dron.

“Pihak JPJ juga menyamar sebagai penumpang bas ekspres, penyamaran menggunakan kenderaan tanpa lambang jabatan, di samping bertindak atas aduan serta maklumat daripada orang ramai melalui sistem eAduan dalam aplikasi MyJPJ.

“Menerusi video tular itu, tiga pegawai penguat kuasa JPJ tanpa seragam atau vest sedang melakukan pemeriksaan dan menahan sebuah bas ekspres ketika operasi khas pada 16 April lalu jam 12.10 tengah hari di Lebuhraya Utara-Selatan menghala arah utara dekat Nilai menggunakan kaedah penyamaran,” katanya dipetik laporan Berita Harian.

JPJ menjelaskan, pegawai penguat kuasanya dibolehkan untuk tidak memakai uniform atau vest bagi tujuan penyamaran ketika melakukan operasi.

Bagaimanapun, katanya, pegawai penguat kuasa perlu mengemukakan pengenalan diri (kad kuasa) yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah (JPJ) sekiranya diminta berbuat demikian.

“Ia adalah selaras dengan Seksyen 123 (1) dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333). Kedua-dua pihak sudah membuat laporan dan kes itu dalam siasatan polis.

“Semua pihak dinasihatkan tidak membuat spekulasi mengenai perkara itu dan memberikan ruang kepada polis untuk melakukan siasatan.

“Jabatan ini sentiasa komited dalam memastikan tahap keselamatan pengguna berada pada tahap terbaik, di samping menguatkuasakan undang-undang jalan raya,” katanya.

Terdahulu, beberapa rakaman video serta laporan polis dibuat seorang pemandu bas yang diperiksa oleh tiga pegawai JPJ yang tidak memakai uniform atau vest tular di media sosial, baru-baru ini.

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *