BERITA UTAMA

Pelajar meninggal dunia ketika merentas desa

KUALA PILAH – Seorang pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di sini, rebah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menyertai kejohanan merentas desa di sekolahnya hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, dalam kejadian jam 8 pagi itu, pelajar terbabit Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, 14, dikatakan rebah dan tidak sedarkan diri sebaik menghampiri garisan penamat.

“Allahyarham dan seramai 700 pelajar lain telah mulakan larian merentas desa sejauh tujuh kilometer.

“Ketika pelajar itu hampir di garisan penamat iaitu lebih kurang 50 meter, dia telah rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, guru yang berada di lokasi telah cuba memberikan bantuan pernafasan, tetapi pelajar itu tidak menunjukkan sebarang tindak balas.

Ujarnya, pihak sekolah kemudiannya telah menghubungi talian 999 dan dia kemudiannya telah dibawa oleh ambulans ke Unit Kecemasan Hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk tindakan lanjut.

“Ambulans tiba di Unit Kecemasan kira-kira jam 10.15 pagi dan setelah hampir sejam memberikan bantuan, akhirnya pelajar itu disahkan meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, katanya, berdasarkan keterangan dari bapa Allahyarham, dia menghidap penyakit jantung berlubang sejak tahun 2016.

Malah, katanya, dia turut mempunyai kad rawatan bagi penyakitnya dari Institut Jantung Negara (IJN) dan dibekalkan dengan ubat-ubatan daripada IJN setiap masa.

“Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. – ND

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *