Oleh Nazri Hamdan
HARI ini, bila kita sebut saja ubi kayu, ia akan dijadikan bahan lawak jenaka orang Melayu.
Ada sesetengah konten di media sosial yang telah memaki hamun Speaker Dewan Rakyat kerana idea gantikan beras dengan ubi.
Ironinya, konten-konten sebegini telah mendapat beribu-ribu like. Saya pasti, majoriti yang like adalah generasi muda yang mereka sendiri tak pernah pun makan ubi kayu.
Ini menunjukkan betapa orang Melayu hari ini telah menganggap ubi kayu satu makanan inferior.
Masa saya kecil, saya dibesarkan dalam suasana kemiskinan di ceruk kampung. Tanaman yang kami pastikan ada ialah ubi kayu.
Ia senang ditanam. Cucuk saja di tanah, ia boleh tumbuh. Bukan sahaja akarnya yang berisi, malah daunnya juga boleh direbus atau dimasak lemak.
Hampir setiap hari, masa kecil sarapan pagi saya adalah sama ada ubi rebus atau ubi goreng. Sebab kami cuma perlu cabut ubi di tepi dan belakang rumah.
Ayah saya juga selalu cerita pada saya masa dulu beras mahal. Jadi orang dulu-dulu campurkan beras dengan ubi kayu untuk jadi banyak.
Hakikatnya, datuk dan ayah kita makan ubi kayu. Kita boleh tak setuju dengan kata-kata Speaker Dewan Rakyat.
Kita tak mungkin boleh gantikan beras dengan ubi kayu pada hari ini sebab kita dah terlalu biasa makan nasi. Ia dah jadi tabiat kita. Ya, statement Speaker Dewan Rakyat itu kita boleh tak setuju.
Tapi, janganlah anggap ia satu perkara yang senang-senang dipersendakan sebab satu hari dulu, itulah makanan ayah, ibu dan datuk, nenek kita.
Kita jangan sesekali lupa dari mana kita datang. Yang telah mengeluarkan kita dari makanan ubi kayu yang kita gelakkan hari ini ialah kerana usaha keras ayah dan ibu kita yang tak henti-henti pastikan nasi ada di atas meja kita setiap hari.
Akan tetapi, keringat sumber tenaga dan peluh usaha mereka itu sebahagiannya dari ubi kayu.
Bila saya dengar perkataan ubi kayu, saya tak anggap ia satu lawak jenaka. Saya anggap ia perkara yang memberikan saya keinsafan. Ia mengingatkan saya dari mana saya datang. – NasionalDaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!