Karya tempatan berleluasa ditonton secara haram di Telegram

PENERBIT, Jaja Ishak meluahkan rasa kesal apabila segelintir penonton memilih menonton karya tempatan secara haram menerusi aplikasi penstrimanan seperti Telegram.

Berita Harian melaporkan, penerbit syarikat Kembara Sufi Production Sdn. Bhd. itu berkata, tontonan secara haram di Telegram sama seperti kegiatan cetak rompak yang akhirnya mampu melumpuhkan industri seni.

“Janganlah menonton karya tempatan di aplikasi penstriman kerana ia memberi kesan kepada banyak pihak. Apabila tidak membeli atau menyokong produk tempatan, stesen televisyen (TV) paling terkesan.

“Bila stesen TV tak dapat perolehan sepatutnya dapat, penerbit pula sudah tiada kerja pada masa akan datang.

“Maksudnya, stesen TV tiada pendapatan dan perolehan, bagaimana penerbit nak tawarkan pekerjaan kepada pelakon dan kru produksi. Jadi, ia akan memberi impak kepada semua pihak,” katanya kepada BH Online.

Berkongsi lanjut, Jaja berkata, isu itu tidak boleh dipandang ringan.

“Saya merasakan isu cetak rompak sejak zaman dulu lagi. Dulu orang cetak rompak cakera padat dan jual di pasar malam. Sekarang, bila teknologi bertambah moden, karya tempatan dirompak dengan cara begini.

“Bagi saya, ia satu perbuatan tidak bertanggungjawab kerana mengambil hak orang tanpa kebenaran,” katanya.

Oleh itu, Jaja berkata, pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) perlu mengambil tindakan tegas.

“FINAS dan MCMC kena ambil tindakan serius bukan sebab drama yang ditayangkan di stesen TV swasta sahaja ditonton di Telegram, malah drama di stesen kerajaan juga diambil dengan tidak bertanggungjawab.

“Ia tidak sepatutnya berlaku walaupun tayangan percuma di stesen TV kerajaan.

“Bukan apa, kalau tidak sokong dan tonton di kaca TV, drama tidak mendapat rating tinggi. Kalau tiada rating, tak dapat bawa masuk iklan.

“Iklan inilah memberi perolehan kepada stesen TV dan disebabkan itu juga, mereka boleh memberikan tawaran kerja.

“Jadi, kesannya sangat besar dan memberi implikasi dari segi ekonomi. Tapi, orang kita tidak fikir,” katanya.

Tambah Jaja, pihak kerajaan juga perlu memberikan kesedaran meluas mengenai kesalahan menonton drama di platform penstriman yang tidak sepatutnya.

“Saya cadangan Kementerian Komunikasi buat kempen, jangan harapkan aduan sahaja. Jika tidak, perkara ini akan terus berleluasa.

“Bayangkan drama belum habis tayang, ia sudah ada dalam Telegram.

“Ia tidak sihat sebab industri kecil, jadi jika dibiarkan penerbit gulung tikar.

“MCMC kena ambil tindakan dan padamkan semua naskhah yang ditonton secara haram supaya tiada lagi boleh menonton,” katanya.

Baru-baru ini, penerbit dan pengarah, Shahrulezad Mohameddin juga ada meluahkan kesal apabila drama Khunsa ditonton secara haram menerusi Telegram.

 

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *