KUALA LUMPUR – BERSATU belum menghantar notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berhubung keahlian enam Ahli Parlimen parti itu yang didakwa tergugur secara automatik.
Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ronald Kiandee, berkata sebaliknya enam ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu diberikan peluang menyambut Aidilfitri dulu.
“Setakat ini belum (hantar notis ke Speaker)…seperti kata Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden BERSATU), biar mereka sambut raya dahulu,” katanya kepada BH, di sini.
Ketika ditanya sama ada notis itu akan diberikan sebelum berlangsungnya sidang Dewan Rakyat pada Jun ini, Ronald bagaimanapun tidak mempunyai perincian mengenai perkara terbabit.
Sebelum ini, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, dilaporkan berkata, keahlian enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN parti itu yang berpaling tadah kerana menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tergugur secara automatik dan perlu mengosongkan kerusi kawasan masing-masing.
Razali dilaporkan berkata, mereka tidak perlu menunggu surat pemecatan, sebaliknya keahlian mereka tergugur selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan parti itu.
Pada 2 Mac lalu, BERSATU meluluskan pindaan Perlembagaan parti itu yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.
Awal bulan ini, ROS dilaporkan turut meluluskan usul pindaan Perlembagaan BERSATU yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas (EGM) parti itu. – Berita Harian
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!