RAMALLAH – Tentera Israel menembak mati dua rakyat Palestin dan seorang anggota Hamas dalam satu serbuan disertai tentera dan peneroka haram Yahudi bersenjata di Tebing Barat yang diduduki.
Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan sekurang-kurangnya seorang terbunuh apabila puluhan peneroka haram Israel menyerang sebuah perkampungan di Ramallah.
Katanya, seorang ditembak mati di al-Mughyyer berhampiran bandar Ramallah di Tebing Barat.
Bagaimanapun, tidak jelas sama ada dia ditembak oleh tentera Israel atau peneroka.
Ketua majlis tempatan al-Mughyyer, Ameen Abu Alia berkata, peneroka sebelum ini pernah menyerang perkampungan itu, namun serangan semalam adalah yang paling sengit.
“Kira-kira 400 peneroka Yahudi bersenjata, disokong oleh pasukan tentera, menembak penduduk, merosakkan kampung dan membakar rumah serta kereta,” katanya.
Tentera Israel berkata, Mohammad Omar Daraghmeh, yang disifatkannya sebagai ketua infrastruktur Hamas di kawasan Tubas di lembah Jordan terbunuh ketika berbalas tembak dengan pasukan keselamatan.
Katanya, beberapa senjata dan peralatan tentera, termasuk senapang automatik ditemui di dalam kenderaannya. Hamas mengesahkan kematian Daraghmeh dan keahliannya dalam Briged Al Qassam.
Agensi berita rasmi Palestin, WAFA, melaporkan seorang lagi lelaki dibunuh oleh tentera Israel yang melakukan serbuan di kem pelarian Al-Far’a di Tubas.
Tentera berkata, pasukan yang menjalankan operasi itu melepaskan tembakan ke arah rakyat Palestin yang melemparkan bahan letupan dan membunuh seorang lelaki yang dikatakan cuba menyerang mereka.
Bulan Sabit Merah Palestin berkata, sekurang-kurangnya 10 orang cedera, kebanyakannya akibat tembakan langsung dan beberapa ambulans yang cuba sampai ke kawasan itu turut ditembak.
Abu Rudeineh, jurucakap Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, mengutuk serangan peneroka haram Yahudi itu dan menuntut campur tangan antarabangsa segera, khususnya oleh Amerika Syarikat (AS).
Rekod Kementerian Kesihatan Palestin menunjukkan sekurang-kurangnya 460 rakyat Palestin di Tebing Barat dibunuh oleh tentera atau peneroka haram Israel sejak Oktober tahun lalu.
Dalam tempoh yang sama, sekurang-kurangnya 13 warga Israel, antaranya dua anggota tentera Israel dibunuh oleh rakyat Palestin di Tebing Barat, menurut pengiraan Israel. – REUTERS
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!