BERITA UTAMA

Bekas Naib Presiden Ecuador, Jorge Glas cuba bunuh diri dengan mogok lapar

QUITO – Bekas Naib Presiden Ecuador, Jorge Glas cuba membunuh diri awal minggu ini dan kini melancarkan mogok lapar di sebuah penjara di Guayaquil sebagai tanda membantah penahanannya, kata peguamnya, Sonia Vera dan bekas Presiden Rafael Correa pada Rabu.

Glas yang sudah dua kali disabitkan dengan dakwaan rasuah dan menghadapi pertuduhan baharu, ditahan pada Jumaat selepas serbuan polis di Kedutaan Mexico, di sini, tempat beliau tinggal sejak Disember lalu selepas memperoleh suaka politik.

Pada Isnin lalu, Glas dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan selepas perkhidmatan penjara berkata, beliau enggan makan makanan yang disediakan di penjara dan jatuh sakit.

“Kami telah mengesahkan tindakan itu adalah percubaan membunuh diri. Dia tidak makan apa-apa dan sedang mogok lapar,” kata Correa dalam mesej di platform media sosial X yang disahkan oleh Vera dalam mesej WhatsApp.

Dalam hantaran berasingan di X, Vera berkongsi rakaman video Glas menceritakan penahanannya minggu lalu.

Penangkapan itu meningkatkan lagi ketegangan antara Mexico dan Ecuador, selepas Quito mengisytiharkan Duta Mexico sebagai persona non grata, memetik komen “yang tidak sesuai” dikeluarkan Presiden Mexico berhaluan kiri, Andres Manuel Lopez Obrador.

Kerajaan Ecuador menegaskan mempunyai bukti Glas merancang untuk melarikan diri, walaupun ia tidak memberikan butiran.

Glas dibenarkan keluar hospital pada Selasa dan kembali ke penjara. – Reuters

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *