BERITA UTAMA

Pertandingan keceriaan, kebersihan serlah bakat pelajar MMRP

Oleh: Abd. Ghaffar Daud

RANTAU PANJANG – Buat julung kali, sekolah Maahad Muhammadi Rantau Panjang (MMRP) di sini, menganjurkan pertandingan keceriaan dan kebersihan sebagai usaha memberi kesedaran kepada pelajar mengenai pentingnya dua aktiviti itu dalam kehidupan seharian.

Program yang dicetuskan seorang guru keceriaan sekolah itu, Wan Mohd Yusoff Wan Mohd Nor telah dijadikan acara tahunan MMRP ke arah menggalak dan membiasakan diri pelajar dengan keceriaan serta kebersihan.

Dalam pertandingan itu, pelajar Tingkatan 4A telah dinobatkan sebagai juara dengan mengumpul markah sebanyak 84 peratus, diikuti pelajar Tingkatan 3A naib johan (77 peratus) dan pelajar Tingkatan 5B (76 peratus) di tempat ketiga.

Sebanyak 16 kelas mengambil bahagian dalam pertandingan itu yang dinilai dan dirundingkan berdasar aspek penilaian markah dari segi item wajib ada seperti jadual bertugas, waktu, carta organisasi kelas, penyapu, penyodok, bulu ayam dan bakul sampah.

Dari segi keceriaan pula, markah lima peratus diberikan untuk item seperti langsir, alas meja, pokok bunga hiasan yang teratur, akuarium, sudut bacaan dan cat atau hiasan dinding.

Menurut Wan Mohd Yusoff, markah juga diberikan mengikut kriteria yang diambil termasuk dari segi kebersihan lantai, siling, kipas dan cermin tingkap.

“Seramai tiga pengadil akan memberi markah atas kekemasan susun atur meja dan kerusi.

“Pengadil juga mencatatkan markah atas kerjasama dan kehadiran pelajar dalam kelas,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau bercadang agar pihak pengurusan MMRP mengadakan pertandingan seumpama itu setiap bulan dengan hadiah bagi johan akan menerima RM100 beserta piala pusingan dan sijil.

Seorg pelajar, Nur Syafiqah Abd. Ghaffar, 16, berkata, seramai 29 pelajar Tingkatan 4A terlibat dalam pertandingan itu dan mereka bekerja keras selama dua minggu untuk memastikan memperoleh kemenangan.

“Terima kasih cikgu Wan Mohd Yusoff mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan ini.

“Dengan adanya program seperti ini dapat mengasah bakat saya dan pelajar lain yang selama ini terpendam,” katanya.

Beliau pernah mendapat johan dalam pertandingan mewarna peringkat DUN Gual Periok ketika berusia enam tahun dan belajar di taman asuhan kanak-kanak Pasti Al-Fitrah, Banggol Kulim, di sini. – NasionalDaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *