ADAKAH logo kasut keluaran syarikat Vern’s itu kalimah Allah? Logo itu bukan kalimah Allah, tapi mengandungi kalimah Allah.
Pakar seni khat bersetuju logo itu bukanlah kalimah Allah secara spesifik dan ia tidaklah ditulis mengikut mana-mana kaedah seni khat tradisional. Tetapi, dalam masa sama, mereka juga mendapati dalam logo itu mengandungi kalimah Allah yang bersambung dengan corak lain.
Jika difokus kepada kalimah Allah yang wujud dalam logo itu, ia hampir kepada bentuk khat kuno dari zaman Nabati dan skrip Ummul Jimal atau juga boleh dikaitkan dengan khat bebas kontemporari.
Kenapa orang Islam emosi?
Kalimah Allah ialah lafaz paling suci bagi umat Islam. Orang Islam tidak letak kalimah yang suci di tapak kaki. Bahkan kalau nampak apa-apa huruf Jawi pun mereka rasa bersalah kalau biarkan di atas lantai.
Apatah lagi jika ada kelibat lafaz itu kalimah Allah dan apatah lagi dipijak di tapak kaki serta mereka juga tidak akan berdiam diri kalau tahu ada orang yang pijak kalimah itu di tapak kaki.
Apa hukum memakai kasut yang ada kalimah Allah di tapaknya?
Sekiranya jelas kalimah Allah dan sengaja memijaknya, jelas hukumnya haram. Bahkan kufur. Tetapi, jika kalimah itu tidak jelas atau merasakan tulisan itu bukan kalimah Allah maka tidaklah berdosa.
Fatwa mengenai hukum ayat-ayat al-Quran yang telah diracik serta dihilangkan struktur kalimah dan ayatnya mengatakan hukumnya bukanlah seperti ayat al-Quran lagi.
Namun, umat Islam menghormati segala yang berkaitan dengan al-Quran. Sebab itu ayat-ayat al-Quran biasanya dibakar dan ditanam di tempat khusus atau dihanyutkan abunya ke laut supaya kehormatannya tetap terpelihara.
Kalimah Allah adalah lafaz paling mulia kerana Allah yang menurunkan al-Quran.
Adakah syarikat kasut Vern’s sengaja menghina Allah?
Niat orang tiada siapa tahu. Mungkin tidak sengaja dan mungkin sengaja. Tetapi, ramai dalam kalangan umat Islam seakan mempunyai persepsi ia seakan sengaja.
Sebab logo itu dikatakan lebih hampir kepada kalimah Allah berbanding bentuk motif kasut. Peratusan berlaku secara kebetulan agak sukar diterima. Sebab itu isu ini membawa keresahan dan ketegangan.
Adakah syarikat Vern’s dan yang sepertinya patut dihukum?
Islam adalah agama Persekutuan di Malaysia. Majoriti rakyat beragama Islam. Budaya yang melingkungi dan membentuk persekitaran masyarakat Malaysia adalah Islam.
Sukar diterima kalau ada orang Malaysia yang kata tidak tahu kalimah Allah itu suci dan sensitif. Atau tidak kenal kalimah Allah dalam tulisan Arab. Orang Melayu tak dapat terima.
Perkara ini bukanlah kali pertama berlaku. Bukan sahaja di Malaysia, tapi di serata dunia. Sebab itu mereka rasa ada pihak yang sengaja buat provokasi. Itu persepsi umum. Sebab itu masyarakat Islam spontan marah dan tidak mahu ia berlaku lagi.
Semua pihak perlu ingat bukan umat Islam yang memulakan. Bukan umat Islam yang sengaja cari fasal. Banyak lagi perkara nak dibuat sepanjang Ramadan ini.
Tapi mereka tiba-tiba terpaksa mempertahankan agama walaupun Islam adalah agama persekutuan. Mereka tidak melepaskan tanggungjawab itu kepada pihak kerajaan semata kerana itu adalah isu agama mereka.
Kalau boleh didakwa dan sabitkan kesalahan, maka perlulah dihukum setimpal, atau paling kurang jadi pengajaran yang kuat berbekas. Itu yang diharapkan supaya Malaysia kekal harmoni dan makmur. – NasionalDaily
Penulis Dr. Abd. Rahman Hamzah adalah YDP Persatuan Seni Khat Kebangsaan
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!