BERITA UTAMA

Mengapa Arab Saudi, Asia Barat sambut Aidilfitri lebih dulu daripada kita. Ini penjelasannya

Oleh Khairul Anuar Yazid dan Shahril Azwan Hussin

IDILFITRI bermula dengan kelihatan anak bulan pada petang hari ke-29 Ramadan. Apabila kelihatan, waktu Maghrib itu menandakan bermulanya Syawal, iaitu bulan ke-10 dalam takwim Islam. Jika sebaliknya, bilangan hari dilengkapkan 30 hari Ramadan.

Di Malaysia, anak bulan akan dicerap pada petang ini di 29 lokasi di seluruh negara dengan tarikh Aidilfitri yang jatuh pada 1 Syawal berkemungkinan esok atau lusa. Bagaimanapun, negara di Asia Barat seperti Arab Saudi pula berbuat demikian, semalam.

Hakikatnya, takwim Islam atau Hijriah di negara ini disedia dan dikelola secara sistematik sebagai antara urusan pentadbiran kerajaan, iaitu diletakkan di bawah kuasa tertinggi hal ehwal Islam, Majlis Raja-Raja.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bertanggungjawab menjalankan titah perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenankan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja membuat pengumuman tarikh puasa dan dua hari raya menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Takwim Hijriah adalah takwim rasmi umat Islam, sekali gus satu sistem qamariah tulen berpandukan peredaran bulan mengelilingi bumi. Pengiraannya bermula peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW pada 622 Masihi dan mempunyai 354 atau 355 hari setahun, manakala setiap bulan mempunyai 29 atau 30 hari sahaja.

Takwim Masihi atau Miladi pula adalah sistem kalendar berpandukan matahari. Takwim Gregorian ini mula digunakan pada 1582 Masihi dan mempunyai 365 atau 366 hari setahun. Setiap bulan mempunyai 30 atau 31 hari dengan hanya Februari mempunyai 28 atau 29 hari.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi.” (Al-Taubah: 36)

Al-Quran sebut perbezaan takwim Hijriah, Masihi

Perbezaan antara takwim Hijriah dan Masihi disebutkan dalam al-Quran. Firman Allah SWT: “Dan mereka tinggal tidur dalam gua mereka selama 300 tahun (dengan kiraan Ahli Kitab), dan hendaklah kamu tambah sembilan tahun lagi (dengan kiraan kamu) (yakni menjadi 309 tahun).” (Al-Kahfi: 25)

Bilangan 309 tahun ini boleh ditukarkan kepada bilangan hari dalam sistem tahun Islam melalui perkiraan berikut:

Bilangan hari dalam tahun Islam = (Bilangan hari dalam bulan Islam) darab (Bilangan bulan dalam tahun Islam) = ( 29.5 hari darab 12 bulan ) = 354 hari

Secara puratanya, jumlah bilangan hari dalam satu tahun Hijrah adalah 354 hari. Dari jumlah ini, kita dapat menghitung jumlah bilangan hari pemuda Ashabul Kahfi berada di dalam gua:

Jumlah bilangan hari = 309 tahun didarab (Bilangan hari dalam tahun Hijriah) = 309 darab 354 hari = 109,386 hari

Bilangan 109,386 ini jumlah hari dalam 309 tahun dalam sistem kalendar Islam atau takwim Hijriah. Persoalannya, mengapakah ayat 25 Surah Al Kahfi menyebut ‘300 tahun dan ditambah sembilan tahun’? Mengapakah tidak disebut 309 tahun sahaja? Adakah 300 tahun itu berasaskan sistem kalendar lain?

Bagi mengetahui jawapan kepada persoalan ini, kita boleh cuba bahagikan jumlah bilangan 109,386 hari dengan 300 tahun untuk mengetahui berapakah bilangan hari dalam setahun berdasarkan sistem tersebut.

Jumlah bilangan hari dalam setahun = (109,386 hari) dibahagikan (300 tahun) = 364.62 (365 hari)

Angka 365 hari setahun ini ialah jumlah hari diambil oleh bumi untuk mengelilingi matahari (angka sebenar adalah 365.242 hari). Angka inilah digunakan sebagai asas kepada pembentukan sistem kalendar matahari atau disebut kalendar Miladi.

Berdasarkan nas al-Quran dan hadis, secara puratanya bilangan hari dalam takwim Hijriah adalah 354 hari dan bilangan hari dalam Kalendar Miladi adalah 365 hari dan ia memberikan perbezaan antara kedua-duanya sebanyak 11 hari.

Arab namakan tahun dengan peristiwa penting

Pada Zaman Pra-Islam, takwim belum tersusun seperti sekarang dan mereka menamakan tahun berkenaan dengan peristiwa penting berlaku seperti tahun Pembinaan Kaabah, Tahun Gajah dan lain-lain.

Tahun peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dikenali sebagai Tahun Azan (disyariatkan azan); Tahun Kedua (tahun izin perang); Tahun Ketiga (tahun puasa); Tahun Keempat (tahun zakat atau tahun korban) dan Tahun Ke-10 (Haji Wida).

Takwim Hijriah mula diperkenalkan pada tahun ke-17 selepas peristiwa Hijrah. Ia dihitung bermula tarikh Hijrah Nabi SAW. Tarikh 1 Muharam tahun 1 Hijrah adalah bersamaan dengan Jumaat 16 Julai 622 Masihi.

Bagi orang Islam, penggunaan takwim Hijriah bukan sekadar catatan tarikh dan hari sahaja. Ia penting dalam penentuan hukum-hakam dan pentadbiran hal ehwal Islam di negara ini.

Contohnya dalam penentuan status bagi sah keturunan (nasab), baligh dan tempoh iddah. Dalam bab zakat pula pengiraan haul zakat dan menunaikan zakat fitrah. Masa bagi melaksanakan ibadat sunat takbir Aidilfitri dan takbir Aidiladha.

Dalam aspek puasa pula permulaan pelaksanaan puasa fardu Ramadan, puasa hari putih, puasa Asyura, puasa Arafah 9 Zulhijjah dan puasa Nisfu Syaaban. Begitu juga dalam sambutan Hari Kebesaran seperti Awal Muharam, Sambutan Maal Hijrah dan Rabiulawal serta Sambutan Maulidur Rasul SAW.

Takwim Hijri terbahagi kepada empat.

  1. Takwim Istilahi

Jumlah hari 29 atau 30 hari dalam sebulan disusun berselang seli sepanjang tahun. Kebiasaannya digunakan sebagai anggaran tarikh atau takwim, bukan untuk takwim ibadat.

  1. Takwim Hakiki

Takwim berdasarkan kepada sistem ijtimak bumi-bulan-matahari. Dikira berpandukan apabila berlakunya ijtimak hakiki, iaitu apabila ijtimak berlaku sebelum matahari terbenam, maka esoknya dikira awal bulan Hijriah yang baharu. Sebaliknya jika ijtimak berlaku selepas terbenam matahari, maka keesokan harinya digenapkan 30 haribulan.

  1. Takwim Wujudul Hilal

Takwim berdasarkan kewujudan hilal atau anak bulan di atas ufuk pada hari ke-29. Dikira mengikut wujudnya hilal di atas ufuk ketika matahari terbenam. Sekiranya hilal wujud di atas ufuk, maka esoknya bermula awal bulan Hijriah dan sekiranya hilal terbenam lebih dahulu daripada matahari maka esoknya digenapkan kepada 30 hari.

  1. Takwim Rukyah dan Hisab

Ian berpandukan kaedah mencerap anak bulan dan pengiraannya berpandukan Kriteria Imkanur Rukyah (KIR). Secara amnya jika KIR dipenuhi pada hari ke 29 maka esoknya bermula awal bulan hijri dan sekiranya kriteria tidak dipenuhi maka esoknya digenapkan kepada 30 haribulan.

Bagaimana awal bulan ditentukan di Malaysia

Terdapat 3 Kaedah diguna pakai oleh negara Islam bagi penentuan awal bulan hijriah, iaitu Rukyah Hakiki, Hisab Hakiki serta Rukyah dan Hisab berpandukan KIR. Malaysia mengguna pakai Rukyah dan Hisab berpandukan KIR.

Pada 2016, Malaysia mencadangkan KIR baharu hasil kajian data analisis cerapan hilal yang dilaksanakan hampir 20 tahun di Teluk Kemang, Negeri Sembilan. KIR ini kemudiannya disepakati secara bersama oleh negara anggota Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) dalam muzakarah di Balai Cerap Telok Kemang bermula 2 hingga 4 Ogos 2016.

Kriteria baharu ini kemudiannya disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja kali ke-257 pada 24 dan 25 November 2021, kemudiannya dilaksanakan penggunaannya bermula 1 Muharam 1443H/2022M.

Di peringkat MABIMS pula, kriteria baharu ini diselaraskan untuk digunakan secara bersama dalam Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) ke-44 di Singapura bersidang bermula 12 hingga 14 November 2019.

Fungsi matahari, bulan dalam penentuan takwim

Nabi SAW bersabda: “Jangan kamu berpuasa kecuali kamu melihat hilal, iaitu (Ramadan). Dan janganlah kamu berbuka sebelum kamu melihat hilal (Syawal). Apabila penglihatan kamu dilindungi oleh awan, maka hendaklah kamu takdirkannya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Matahari juga menjadi penentu kepada sebahagian besar ibadat. Dalam pelaksanaan solat fardu terbit, matahari terbenam menentukan waktu solat fardu dan sunat seperti terbit fajar sadiq, tergelincir matahari dan terbenam.

Selain itu, ia rujukan dalam penentuan arah kiblat melalui kaedah matahari terbenam mengikut darjah tertentu dan Istiwa’ A’dzam.

Bulan ialah satelit semulajadi bumi yang tidak mempunyai sumber cahaya sendiri, sebaliknya cahayanya daripada pantulan matahari.

Firman Allah SWT: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak bulan. Katakanlah: (Peredaran) anak bulan itu menandakan waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat haji.” (Al-Baqarah: 189)

Fasa bulan ialah peringkat perubahan bentuk bulan bercahaya sepanjang pusingannya di orbitnya mengelilingi bumi. Disebabkan bumi beredar mengelilingi matahari di satah ekliptik, kedudukan bumi relatif dengan kedudukan bulan dan matahari sentiasa berubah-ubah.

Perubahan ini mengakibatkan permukaan bulan bercahaya dilihat dari bumi dalam keadaan \berbeza-beza bentuk.

Dalam tempoh peredaran bulan, wujud empat fasa utama bulan yang dapat dilihat dari bumi:

– Fasa pertama: Ijtimak (bulan gelap) dan hilal

– Fasa kedua: Bulan pada suku pertama

– Fasa ketiga: Bulan pada suku kedua (bulan purnama)

– Fasa keempat: Bulan pada suku ketiga

Apa itu matlak Malaysia

Matlak ialah kawasan berada pada jangka masa waktu terbit & terbenam matahari/bulan hampir sama atau membabitkan negara berkongsi siang dan malam yang sama matlak Malaysia bermula di Tanjung Atiam, Sabah dan berakhir di Pulau Perak, Kedah.

Hadis Kuraib diriwayatkan Imam Muslim, Imam Tirmizi, Imam Abu Daud dan Imam Nasai’e menjelaskan lebih lanjut: “Aku melihat anak bulan di Syam pada malam Jumaat, kemudian aku pulang ke Madinah, lalu Ibnu Abbas bertanya kepadaku: “Bilakah kamu melihat anak bulan?” Aku menjawab: “Kami melihat pada malam Jumaat.” Ibnu Abbas bertanya lagi: “Adakah engkau sendiri melihat anak bulan itu?” Aku menjawab: “Ya, orang lain pun melihatnya dan mereka juga berpuasa. Mu’awiyah turut berpuasa.” Ibnu Abbas berkata: “Kami di sini melihat anak bulan pada malam Sabtu, oleh itu kami terus berpuasa sehingga kami sempurnakan 30 hari Ramadan.” Aku bertanya: “Tidakkah memadai bagi kamu dengan anak bulan dilihat Mu’awiyah dan puasanya?” Ibnu Abbas menjawab: “Tidak! Beginilah caranya Rasulullah SAW menyuruh kami berbuat demikian.”

Justeru, Matlak Malaysia dan Arab Saudi adalah berbeza kerana:

– Jarak antara Malaysia dengan Arab Saudi adalah dianggarkan dalam 7,000 kilometer.

– Jarak masa antara kedua-dua negara ini adalah lebih kurang lima jam.

– Kedudukan Arab Saudi berada pada kedudukan lebih barat berbanding negara kita menyebabkan peluang untuk anak bulan kelihatan di negara berkenaan adalah lebih tinggi berbanding kita.

Justeru, ketika anak bulan dicerap pada waktu matahari terbenam di Arab Saudi, kedudukan anak bulan berkenaan adalah lebih tinggi berbanding di Malaysia. Oleh itu, kemungkinan peluang untuk anak bulan dapat dilihat adalah lebih tinggi di Arab Saudi berbanding di negara kita.

Peredaran objek samawi matahari dan bulan, kedudukan sesebuah negara (matlak), timur dan barat, kejadian siang dan malam, perubahan fasa bulan, kepelbagaian kaedah pembentukan takwim, kepakaran alim ulama, pakar falak dan astronomi, pengumpulan data cerapan lapangan dan seumpamanya adalah faktor penentuan wujud sedikit perbezaan tarikh bulan hijriah antara sesebuah negara.

Penentuan awal bulan hijriah di Malaysia dilaksanakan dengan teratur dapat menyelaraskan sambutan perayaan Islam di samping memudahkan pentadbiran negara, pelaksanaan ibadat umat Islam dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat, khususnya di kalangan umat Islam.

Penulis adalah Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Falak, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *