KOTA KINABALU – Cadangan Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Christopher Mandut yang meminta kerajaan negeri mengeluarkan sekatan terhadap Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dari memasuki Sabah disifatkan sebagai tidak matang.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar berkata, Christopher sepatutnya selidik terlebih dahulu sesuatu isu sebelum mengemukakan cadangan tidak masuk akal tersebut.
Beliau berkata, kehadiran Ketua Pemuda UMNO ke Sabah pada Jumaat lalu adalah untuk memenuhi undangan pihak tertentu dan beliau disambut mesra oleh seluruh lapisan rakyat di negeri ini.
“Rakyat Sabah dilihat sangat matang dalam mencerna isu berkaitan yang diperjuangkan oleh Dr Akmal khususnya bagi mempertahankan kalimah ALLAH daripada direndahkan darjatnya oleh pihak tertentu.
“Sekiranya mahu melarang Dr Akmal daripada memasuki Sabah dicadangkan adalah lebih baik mengeluarkan larangan terlebih dahulu mereka yang sengaja mencetuskan isu ini daripada memasuki Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Naim yang juga Bendahari Pemuda UMNO berkata, pemimpin seperti Christopher perlu keluar dan bergaul dengan pemimpin dari latar belakang yang berbeza agar pandangan lebih meluas dan tidak mudah terpengaruh.
“Sekali lagi saya ingatkan jangan terlalu mudah untuk mengeluarkan kenyataan yang disifatkan tidak masuk akal sekali gus menyekat hak Dr Akmal memasuki Sabah.-Nasional Daily