SEMALAM, mantan Menteri Agama, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan mantan Menteri Pelaburan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memenuhi jemputan wakil Istana Gabenor Makkah untuk melawat Pameran Muzium Antarabangsa Sirah Rasulullah SAW yang dikelolakan Liga Dunia Islam di Menara Jam Makkah.
Pameran dan muzium antarabangsa itu bertujuan memperkenalkan sirah Nabi dan peribadinya dengan pendekatan moden dan menggunakan teknologi terkini serta termaju.
“Saya amat teruja dengan paparan realiti maya (virtual reality) dan audio berkelas dunia yang disediakan untuk para pengunjung menghayati sirah Rasulullah SAW.
“Antara keputusan yang telah dimeterai dalam memorandum persefahaman bersama Liga Dunia Islam semasa saya menjawat jawatan menteri adalah mewujudkan sebuah muzium sirah Rasulullah SAW di Malaysia dengan tajaan penuh pihak Liga Dunia Islam.
“Jika ia menjadi kenyataan, saya yakin manfaatnya amat besar untuk masyarakat Malaysia,” katanya yang dipetik menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Beliau mengucapkan penghargaan kepada Yang Mulia Putera Khaled bin Faisal Al Saud, Gabenor Makkah melalui wakilnya atas jemputan itu, begitu juga kepada Syeikh Dr. Mohammad bin Abdulkarim Al-Issa selaku Setiausaha Agung Liga Dunia Islam atas usaha yang amat baik ini.
Semoga Allah SWT sentiasa memelihara dan memandu Duli Yang Maha Mulia Al-Malik Salman bin Abdulaziz Al Saud, Penjaga Dua Kota Suci dan Putera Mahkota Yang Mulia Mohammed bin Salman Al Saud dalam pemerintahan serta pentadbiran yang memberi manfaat kepada dunia Islam serta ummah keseluruhannya. – NasionalDaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!I