BERITA UTAMA

Lima pekerja WCK maut akibat serangan Zionis di Gaza

BEIRUT – Sekurang-kurangnya lima pekerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO), World Central Kitchen (WCK) terbunuh akibat serangan udara rejim Zionis ke atas Gaza.

Jurucakap pejabat media kerajaan Gaza dikelolakan Hamas semalam, berkata serangan di Deir al-Balah itu turut mengorbankan warga Poland, Australia dan Britain dan seorang rakyat Palestin.

Namun, tiada sebarang komen mengenai insiden itu dikeluarkan WCK setakat ini.

Rejim Zionis pula dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sedang meneliti kejadian ‘tragis’ itu secara menyeluruh.

“Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berusaha untuk membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan secara selamat dan bekerjasama dengan WCK bagi menyediakan makanan dan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza,” katanya.

WCK menyalurkan dan menyediakan bantuan makanan bagi golongan memerlukan dengan pertubuhan berkenaan mengagihkan lebih 42 juta makanan di Gaza selama 175 hari.

WCK diasaskan oleh Chef Jose Andres pada 2010 yang menghantar tukang masak dan makanan ke Haiti susulan kejadian gempa bumi.

Ia sejak itu menyalurkan bantuan makanan kepada golongan yang terjejas akibat bencana alam, pekerja penjagaan kesihatan ketika pandemik COVID-19, pelarian di sempadan Amerika Syarikat dan individu terbabit dalam konflik di Ukraine dan Gaza.

Menerusi ciapan terkini di aplikasi X semalam, WCK menyatakan pasukannya bergerak di seluruh Gaza untuk mengedarkan makanan kepada rakyat Palestin, setiap hari.

“Kami memiliki lebih 60 dapur di selatan dan pusat Gaza yang memasak ratusan ribu makanan setiap hari,” katanya.

Hamas dalam kenyataan berkata, serangan Israel ke atas kakitangan WCK bertujuan ‘menakut-nakutkan’ pekerja agensi kemanusiaan antarabangsa dan menghalang daripada menjalankan misi mereka. – REUTERS

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *