KUALA KRAU – Seorang pemandu maut tersepit dalam kejadian kemalangan melibatkan kereta dipandunya dengan sebuah lori di Kampung Jenderak, dekat sini, awal pagi ini.
Mangsa mengalami kecederaan parah dan tersepit dalam kereta dipandunya, manakala pemandu lori yang hanya cedera dihantar ke hospital oleh orang awam.
Komander Operasi Kanan BBP Kuala Krau, PBT II Zainal Azmi Jalinu berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.42 pagi mengenai kejadian itu.
Katanya, bertindak atas maklumat, lima anggotanya telah digerakkan ke lokasi kejadian dengan menaiki jentera FRT.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori dengan sebuah kereta. Terdapat dua mangsa yang terlibat dalam kejadian itu.
“Anggota Bomba bertindak menjalankan kerja penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Bagaimanapun, setelah berjaya dikeluarkan, mangsa telah disahkan meninggal dunia dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan pagi ini.
Sementara itu di Kamunting, Perak, seorang penunggang motosikal maut selepas berlanggar dengan sebuah kereta di KM195.6, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Kampung Pak Dolah, dekat sini, pagi ini.
Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 terlibat kemalangan dengan sebuah kereta jenis Toyota Camry kira-kira jam 6.30 pagi.
Menurut Komander Operasi BBP Kamunting, PBK II Ilyas Ramli, lima anggotanya bergerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 6.40 pagi.
Kata beliau, penunggang motosikal telah disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas perubatan KKM, manakala, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan. – NasionalDaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!