KOTA BHARU – Kerajaan negeri sudah menubuhkan Jawatankuasa Khas Pertahan Enakmen Kanun Jenayah Syariah bagi mengkaji semula 16 seksyen dalam Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan pada bulan lalu.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata ahli jawatankuasa yang dilantik itu akan bersidang bagi membincangkan isu berkenaan selepas Ramadan ini.
“Kita baru menubuhkan Jawatankuasa Khas Pertahan Enakmen Kanun Jenayah Syariah dan melantik ahlinya…kita akan melihat bagaimana untuk menilai keadaan semasa berhubung perkara ini.
“Setakat, ini ahli jawatan kuasa itu masih belum bersidang sebab bulan puasa, mungkin selepas ini,” katanya memetik bhnews@bh.com.my sebagai berkata.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik sempena Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Petronas di sini, malam tadi.
Turut hadir, Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli.
Media sebelum ini melaporkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan usul persendirian bagi memartabatkan semula Enakmen Kanun Jenayah Syariah selepas 16 seksyen dibatalkan Mahkamah Persekutuan.
Pada 9 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan 16 seksyen mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.
Sementara itu, mengulas musim kemarau yang berlaku hampir di semua negeri termasuk Kelantan, beliau berkata, solat hajat akan diadakan sebagai ikhtiar sebagai umat Islam.
“Sebelum ini kita pernah buat solat hajat apabila berlaku kemarau berpanjangan dan insya-Allah, kita akan lakukannya lagi kerana dalam Islam pun solat hajat itu sebagai ikhtiar,” katanya. – NasionalDaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!