BERITA UTAMA

Pindaan Akta 355: Kerajaan selesai libat urus bersama negeri – Mohd Na’im

KLANG – Kerajaan selesai mengadakan sesi libat urus bersama negeri-negeri berhubung penambahbaikan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang antara lain melibatkan peningkatan hukuman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Na’im Mokhtar berkata, libat urus itu penting memandangkan perkara berkaitan agama Islam merupakan hak negeri-negeri berdasarkan perlembagaan.

“Dalam konteks sekarang mahkamah syariah hanya diberi bidang kuasa di bawah jenayah, boleh mengenakan hukuman yang maksimum iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.

“… maknanya undang-undang sedia ada melibatkan kesalahan jenayah syariah seperti menghina agama umpamanya mahkamah tidak boleh mengenakan hukuman lebih dari itu, jadi saya sebagai menteri, kita sedang usahakan untuk menyemak semula akta yang kali terakhir dipinda pada tahun 1984 ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Iftar Jalinan Kasih Yayasan Kita Anak Malaysia, di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh yang mencadangkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO supaya membawa usul meningkatkan hukuman terhadap individu yang menghina agama untuk dibentangkan di Parlimen.

Mohd Na’im berkata, undang-undang syariah yang hanya terpakai untuk pesalah beragama Islam sedang diperkasa menerusi pindaan akta itu dan akan dibentangkan usai proses diperlukan.

“Jika ada urusan berkaitan penghinaan agama Islam oleh orang bukan Islam ia terletak di bawah bidang kuasa polis, pendakwaan dan mahkamah sivil.

“(Bagi orang Islam pula) Apa yang disebut oleh Dr. Akmal itu boleh berlaku sekiranya Akta 1965 kita pinda nanti, kemudian barulah negeri-negeri boleh buat pindaan pada enakmen dan akta jenayah syariah masing-masing untuk meningkatkan bidang kuasa hukuman, termasuk bagi pesalah yang menghina agama Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, seramai 14,000 pelajar asnaf dan anak yatim di seluruh negara bakal menerima sumbangan bantuan persekolahan RM252.80 menerusi program Jom Ke Sekolah (JKS) 2024 Yayasan Taqwa-MAIWP berjumlah RM2.1 juta.

Beliau berkata, sumbangan berupa beg sekolah, alat tulis dan wang tunai itu bertujuan memberi semangat, kelegaan dan keceriaan, selain mengurangkan beban ibu bapa bagi menghadapi musim persekolahan ini. – BERNAMA

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *