BERITA UTAMA

Ancam bunuh, bekas ketua aktivis pertubuhan Islam kena dakwa

KOTA BHARU – Bekas aktivis pertubuhan Islam, Datuk Mohd Fared Abdul Ghani dituduh membuat ugutan jenayah ke atas seorang lelaki berusia 40 tahun.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, beliau didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas lelaki yang sama.

Jenayah itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di hadapan Restoran Nasi Lemak Dusun Muda, dekat Kampung Langgar di Kota Bharu, kira-kira 10 malam, pada 6 Januari lalu.

Susulan itu, Fared didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini.

Dia bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas dua pertuduhan terhadapnya itu dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid, manakala tertuduh diwakili peguam dari Tetuan Azahir Surainie & Azizan Ariff.

Muhammad Aiman mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM10,000 dengan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Peguam tertuduh memohon jaminan minimum memandangkan lelaki itu berusia 56 tahun dan mempunyai empat anak.

Jelasnya, Fared yang memberi kerjasama baik menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan paru-paru lemah serta perlu menjalani pemeriksaan berkala di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Tertuduh kemudian diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, selain dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 15 Mei ini sebagai sebutan semula kes.

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *