PUTRAJAYA – Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 2 Tahun 2024 hari ini telah meneliti secara mendalam cadangan ‘New Deal For Business’ (NDFB) yang bertujuan meningkatkan kepercayaan pelabur serta melonjak pertumbuhan produktiviti, daya saing dan ekonomi negara.
Kerajaan akan melaksanakan NDFB menerusi penambahbaikan kecekapan proses dan prosedur serta pelaksanaan reformasi struktur dalam menjalankan urusan perniagaan.
PEMUDAH pula dipertanggungjawabkan memantau pelaksanaan semua inisiatif NDFB.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya berkata, turut dibincangkan mengenai ‘Pengukuhan Kerangka Jaminan Pendapatan Usia Tua di Malaysia’.
Katanya, perbincangan bertumpu kepada isu penuaan serta kesannya, termasuk persediaan negara dalam menyediakan jaminan pendapatan usia tua.
“Mesyuarat memutuskan satu kajian menyeluruh dijalankan bagi menambah baik kerangka jaminan pendapatan usia tua di Malaysia agar lebih holistik.
“Gabenor Bank Negara (BNM) turut maklumkan, prestasi ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) terus bertambah baik.
“Ini adalah hasil pelbagai inisiatif yang diselaraskan antara kerajaan, BNM, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLICs) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) serta unjuran yang diumumkan oleh Federal Reserve AS semalam,” katanya.
Beliau berkata, unjuran tersebut menunjukkan kadar inflasi AS yang lebih terkawal dan pelan utuh normalisasi dasar monetari negara itu dalam tahun 2024 yang akan mengekang kenaikan dolar AS.
Kata Anwar, sejak memulakan operasi bersama, nilai ringgit telah mengukuh sebanyak 1.4 peratus kepada 4.7135 hari ini daripada 4.7773 pada 23 Februari lalu.
“Namun, ketidaktentuan pasaran kewangan global akan terus mempengaruhi pergerakan matawang ringgit selagi tindakan dasar monetari ekonomi-ekonomi maju masih tidak jelas.
“Justeru, kerajaan dan BNM akan terus mempergiat libat urus dengan pihak korporat termasuk syarikat pengeksport, pengimport, GLICs dan GLCs untuk menggalakkan aliran masuk dana ke dalam pasaran pertukaran asing,” katanya. – NasionalDaily
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!