BERITA UTAMA

Kewarganegaraan: Pindaan Perlembagaan ambil kira beberapa faktor

KUALA LUMPUR – Cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan isu kewarganegaraan dibuat kerana mengambil kira beberapa faktor termasuk keperluan untuk tidak memberikan status kerakyatan secara automatik kepada warga asing yang bermastautin di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan peruntukan Perlembagaan sedia ada, anak yang dilahirkan oleh pemastautin tetap di negara ini layak mendapat taraf kewarganegaraan jika kedua-dua ibu bapanya merupakan pemastautin tetap.

Katanya, pemberian status kewarganegaraan itu adalah satu ketetapan yang dibuat kerajaan sejak tahun 1963 lagi sebagai dasar untuk menguruskan permohonan masuk rakyat Singapura ke Malaysia selepas tidak menjadi lagi sebahagian daripada negara ini.

“Bila berpisah dua negara (Malaysia dan Singapura), ia dibuat (dasar) kalau rakyat Singapura masuk (tinggal) ke Semenanjung, mereka memegang kad pengenalan merah.

“Jadi, khusus untuk suasana itu, (satu peruntukan) Perlembagaan dibuat jika kedua-dua pemegang kad pengenalan merah berkahwin dan ada anak di sini,  anak yang dilahir dapat kad pengenalan biru (status warganegara), tapi secara teknikalnya, pemegang kad pengenalan merah itu masih lagi warganagera asing,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) yang ingin tahu kekangan dihadapi KDN dalam menyelesaikan masalah kewarganegaraan membabitkan pemastautin sementara dan tetap di negara ini.

Justeru, katanya, dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan yang diusulkan, kerajaan mencadangkan anak kepada pasangan pemastautin tetap yang dilahirkan di negara ini tidak lagi terus mendapat kewarganegaraan dan perlu membuat permohonan kewarganegaraan.

“Sebab, mana mungkin (perkara) ini berlaku kalau kita berada di luar negara? Contohnya, kita warganegara Malaysia, tapi merupakan pemastautin tetap di Australia dan lahirkan anak di sana, mereka (Australia) tidak memberikan kewarganegaraan automatik,” katanya. – BERNAMA 

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *